KOTA SAMARAHAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mencadangkan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi Yayasan Sarawak menawarkan biasiswa penuh kepada pelajar doktor falsafah (PhD) bagi mengkaji potensi penggabungan perubatan Timur dan Barat.
Beliau berkata penyelidikan itu penting bagi meneroka potensi kekayaan biodiversiti Sarawak dalam pembangunan pendekatan perubatan yang dapat meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan rakyat.
Katanya, penyelidikan perubatan integratif boleh memberikan tumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu perubatan botani, perubatan regeneratif dan inovasi bioperubatan.

“Justeru, saya mencadangkan kepada UNIMAS supaya Yayasan Sarawak menawarkan biasiswa penuh kepada calon PhD untuk mengkaji potensi penggabungan perubatan Timur dan Barat.
“Penyelidikan itu boleh dilaksanakan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi luar negara, memandangkan Sarawak mempunyai khazanah biodiversiti yang luas untuk diterokai bagi melihat potensi penggunaannya dalam perubatan peribadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sidang Ketiga Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ke-30 di sini, semalam.

Abang Johari berkata penyelidikan berkenaan juga boleh merangkumi bidang genomik dan perubatan peribadi bagi meneroka pendekatan penjagaan kesihatan yang lebih bersasar.
Jelasnya, usaha menggabungkan perubatan Timur dan Barat perlu diteroka bagi memanfaatkan sumber semula jadi Sarawak dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat.





