ARTIKEL

Enam usahawan Sarawak teroka peluang pertumbuhan perniagaan baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Enam usahawan Sarawak berjaya meneroka peluang pertumbuhan perniagaan baharu, termasuk mengembangkan perkhidmatan dan menembusi pasaran serantau selepas menamatkan Program SCALE Sarawak Kohort 3 selama enam bulan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Datuk Len Talif Salleh berkata, kejayaan menamatkan program itu merupakan pencapaian penting dalam usaha menyokong transformasi ekonomi Sarawak.

“Kerjasama antara TEGAS dengan Endeavor Malaysia membolehkan usahawan tempatan memperoleh bimbingan berkualiti tinggi serta membina hubungan strategik bagi memperkukuh perniagaan masing-masing.

RAKAM KENANGAN… Peserta Program SCALE Sarawak Kohort 3 merakam kenangan semasa program tersebut.

“Perkembangan syarikat yang menyertai program itu membuktikan potensi usahawan tempatan untuk terus berinovasi dan memacu ekosistem keusahawanan negeri.

“Usaha ini secara langsung menyokong aspirasi jangka panjang Sarawak untuk membangunkan ekonomi digital yang maju dan inovatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program anjuran TEGAS dengan kerjasama Endeavor Malaysia itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keupayaan usahawan tempatan menerusi bimbingan mentor, bengkel dan jaringan perniagaan.

Sepanjang tempoh enam bulan, peserta menerima bimbingan daripada 17 mentor menerusi enam sesi bimbingan berkumpulan, tujuh bengkel dan 20 sesi bimbingan individu yang dijalankan secara maya.

Inisiatif itu membantu peserta menangani cabaran perniagaan, memperkemas strategi serta mengenal pasti peluang baharu untuk mengembangkan operasi masing-masing.

Antara syarikat yang menunjukkan perkembangan positif ialah Let’z Play Therapy yang berjaya membuka cawangan ketiga bagi memperluas akses kepada perkhidmatan intervensi awal untuk lebih ramai keluarga.

Pusat itu turut memperkukuh pasukannya dengan kepakaran dalam bidang klinikal, psikologi dan kerja sosial, selain memperluas perkhidmatan kepada terapi pertuturan serta terapi cara kerja.

Pada masa sama, syarikat berkenaan terus memastikan kadar bayaran perkhidmatannya mampu ditanggung keluarga daripada pelbagai lapisan pendapatan, selain meningkatkan jumlah kontrak kerajaan bagi memperluas perkhidmatan kepada komuniti yang kurang mendapat akses.

Pengasas Let’z Play Therapy, Erdy Izwan berkata, Program SCALE Sarawak menerusi bimbingan Endeavor dan TEGAS banyak membantu perkembangan dirinya sebagai usahawan dan pemimpin.

Menurutnya, pengalaman sepanjang program itu meningkatkan keyakinannya dalam berkomunikasi, memperkukuh kemahiran rundingan serta keupayaan membuat keputusan dan menetapkan hala tuju perniagaan.

“Komitmen syarikat kekal untuk memastikan perkhidmatan intervensi awal berkualiti dapat dinikmati lebih ramai keluarga tanpa mengira kemampuan kewangan,” katanya.

Sementara itu, Satok Bridge Digital yang membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) bagi mengurangkan konflik antara manusia dengan hidupan liar serta menjejaki pergerakannya, sedang memperluas strategi perniagaan ke peringkat serantau.

Syarikat itu telah mengesahkan pelaksanaan beberapa projek perintis di Asia Tenggara dan pasaran lain menerusi kerjasama dengan rakan antarabangsa dalam bidang pemuliharaan.

Sehubungan itu, perancangan untuk memperluas pelaksanaan teknologi berkenaan akan dibuat selepas proses pengesahan projek menunjukkan hasil yang memuaskan.

Selain meneroka peluang di beberapa pasaran Asia Pasifik, Satok Bridge Digital turut mencatat perkembangan di peringkat domestik apabila pelanggan sedia ada meningkatkan penggunaan teknologi syarikat itu susulan kejayaan projek perintis.

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Satok Bridge Digital, Tham Tat Wei berkata, peluang mendapatkan bimbingan daripada mentor berpengalaman menerusi Endeavor memberikan perspektif baharu dalam membangunkan dan memperkukuh perniagaan untuk jangka panjang.

Beliau turut menggalakkan syarikat pemula niaga dan usahawan lain menyertai program berkenaan bagi mendapatkan manfaat daripada pengalaman serta jaringan yang ditawarkan.

Pada masa sama, Pengarah Urusan Endeavor Malaysia, Shan Li Tay berkata, pihaknya percaya usahawan berimpak tinggi mampu mewujudkan peluang yang lebih luas, bukan sahaja kepada perniagaan sendiri, malah kepada ekosistem keusahawanan secara keseluruhan.

Beliau berkata, kerjasama dengan TEGAS membolehkan usahawan Sarawak memperkukuh perniagaan, mendapatkan pandangan daripada pemimpin industri serta membina jaringan yang dapat menyokong perkembangan mereka.

Sepanjang program, sesi bimbingan dan aktiviti turut diadakan di Kuching serta Kuala Lumpur, dengan TEGAS membantu menanggung kos perjalanan peserta ke ibu negara bagi menghadiri tiga daripada lima sesi bersemuka.

Peserta juga berpeluang menyertai beberapa acara tertutup Endeavor Malaysia yang menghubungkan mereka dengan rangkaian usahawan, mentor dan pelabur bagi memperluas peluang kerjasama di luar Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU