ARTIKEL

Gambar hiasan

Gagal Bayar Denda RM10,000, Dua Individu Dipenjara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Dua individu dihantar ke Penjara Puncak Borneo selepas gagal membayar denda RM10,000 setiap seorang yang dijatuhkan oleh Mahkamah Bau atas kesalahan berkaitan transaksi kewangan, semalam.

Kedua-dua tertuduh, Nancy, 42 dan Beken, 51, masing-masing mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan mengikut Seksyen 424C Kanun Keseksaan sebelum diperintahkan menjalani hukuman penjara gantian selama tiga dan enam bulan.

Berdasarkan laporan pertuduhan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Bau, Nancy dijatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah ke atas pertuduhan mengikut Seksyen 424C Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, kegagalannya menjelaskan denda tersebut menyebabkan dia dihantar ke Penjara Puncak Borneo untuk menjalani hukuman penjara selama tiga bulan.

Sementara itu, Beken turut dijatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara enam bulan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga gagal membayar denda berkenaan dan dihantar ke penjara sama untuk menjalani hukuman selama enam bulan.

Seksyen 424C Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan berkaitan transaksi menggunakan akaun atau instrumen pembayaran tanpa tujuan yang sah.

Secara khusus, Seksyen 424C(1) melibatkan individu yang melakukan transaksi menggunakan akaun atau instrumen pembayaran miliknya sendiri tanpa tujuan yang sah.

Kesalahan di bawah peruntukan itu boleh membawa hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun atau denda antara RM10,000 hingga RM150,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, hukuman penjara tiga dan enam bulan dalam kedua-dua kes berkenaan merupakan hukuman gantian akibat kegagalan membayar denda bukannya hukuman penjara utama di bawah peruntukan tersebut.

Menurut laporan sama, kedua-dua kes pada asalnya disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menipu sebelum pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 424C akta sama.

Seksyen 420 memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU