MIRI: Sebuah vesel penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri pada kedudukan kira-kira 3.7 batu nautika barat daya Kuala Baram, semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, penahanan dilakukan pasukan peronda sekitar pukul 9.25 pagi ketika pelaksanaan Op Permai 01/2019, Op Naga Timur, Op Tiris 3.0 dan Op Khas Pagar Laut 1/2025.
“Vesel penumpang tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1953 kerana gagal melaporkan pertukaran nakhoda kepada pegawai pelabuhan.
“Ia juga gagal mengemukakan lesen yang sah semasa diperiksa seperti termaktub di bawah Kaedah Bot 1953,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemeriksaan mendapati kru bersama-sama seorang penumpang tempatan berusia antara 53 hingga 65 tahun berada di atas vesel berkenaan.
Mereka diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Miri untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat, aduan atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Miri di 085-649111 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544 / 082-432016.


