ARTIKEL

Gambar Hiasan

Gaji cukup, jiwa tenang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

AWAL bulan ini, kerajaan memberi bayangan akan mengumumkan peningkatan gaji penjawat awam dan elaun pesara bermula tahun 2024, selari usaha untuk merancakkan ekonomi negara.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menyemak perkara itu dan dijangka direalisasikan tahun depan.

Kata jurucakap Kerajaan Perpaduan itu lagi, sebelum ini ada beberapa keputusan sudah diambil kerajaan, namun beliau serahkan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali atau Perdana Menteri sendiri untuk mengumumkannya.

Dedah Fahmi, pada masa yang sama, kerajaan juga sudah meluluskan kertas putih cadangan Dasar Gaji Progresif sebagai usaha meningkatkan pendapatan pekerja di sektor swasta.

Oleh itu, sekiranya ia dilaksanakan tahun depan, ia satu berita gembira buat kira-kira 1.6 juta penjawat awam yang sedang berkhidmat serta lebih 700,000 pesara kerajaan!

Bagaimanapun, baru-baru ini Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dilaksanakan ketika ini memberi maklum balas positif membabitkan kenaikan gaji yang drastik.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penyelarasan gaji penjawat awam itu perlu dibuat selari maksud slogan anjakan paradigma yang sering dilaungkan.

Namun demikian, CUEPACS menggesa kerajaan melaksanakan segera penyelarasan gaji penjawat awam tanpa menunggu sehingga tahun 2025 seperti yang ditetapkan melalui kajian di bawah SSPA itu.

Memetik kata presidennya, Datuk Adnan Mat, berdasarkan tempoh ditetapkan kerajaan, kajian SSPA yang bermula Julai lalu dijangka dapat dimuktamadkan pada Oktober 2024, manakala pelaksanaannya hanya akan dibuat pada tahun 2025.

Bercakap mengenai gaji, hari menerima gaji sangat dinantinantikan oleh setiap pekerja.

Sama ada jumlahnya besar atau kecil, pekerja berhak menerima upah yang dijanjikan majikan kepada mereka.

Oleh itu, gaji ialah bayaran sejumlah wang atau pampasan tetap diberikan majikan kepada pekerja yang barangkalinya diperincikan dalam kontrak pekerjaan sebagai pertukaran kepada tugasan atau kerja yang dilakukan. Ia biasanya dibayar mengikut tempoh tertentu.

Jika kita lihat Tinjauan Gaji Tahunan 2024 Robert Walters yang melibatkan lebih 400 calon dan organisasi di Malaysia pada September 2023, sebanyak 63 peratus atau lebih tiga daripada lima pekerja di negara ini menjangkakan peningkatan gaji sebanyak antara enam hingga 10 peratus mulai tahun hadapan.

Kajian itu mendapati sebanyak 71 peratus responden menjangkakan kenaikan tersebut meskipun tahu keadaan ekonomi masa kini yang memberi kesan kepada sektor industri masingmasing.

Manakala lebih separuh daripada 54 peratus responden menyatakan mereka sedia untuk berunding bagi mendapatkan gaji lebih tinggi.

Melihat data ini, tahukah anda, Australia disenaraikan sebagai negara dengan gaji minimum tertinggi di dunia serta salah satu negara mempunyai taraf hidup tertinggi pada 2023?

Ya, Yahoo Finance melaporkan gaji minimum sejam ialah RM70.27 dan semua pekerja berusia lebih 21 tahun berhak menerima gaji ini.

Namun, gaji berbeza untuk pekerja bawah umur berkenaan, perantis dan pekerja kurang upaya. Seterusnya, di Luxembourg gaji minimum sejamnya ialah RM68.72.

Berdasar dapatan Yahoo Finance, negara kecil ini mempunyai gaji bulanan kasar kira-kira RM12,498.75 untuk pekerja tidak mahir berumur lebih 18 tahun.

Ia adalah negara yang mempunyai gaji minimum tertinggi di Eropah. Manakala di Belanda, gaji minimum sejam kira-kira RM63.99.

Menurut Yahoo Finance, berbanding kadar ikut jam, gaji minimum di negara itu ditentukan setiap hari, mingguan atau bulanan, bergantung kepada jenis pekerjaan.

Katanya, dengan waktu bekerja 36, 38 atau 40 jam seminggu, semua pekerja berumur 21 tahun ke atas menerima gaji minimum kirakira RM2,304.32 setiap minggu.

Selain itu, Belanda mempunyai waktu bekerja antara paling pendek di dunia.

Nah, ini adalah antara negara di dunia yang sudah mula melaksanakan gaji minimum yang lebih tinggi meskipun mereka tidak terkecuali mendapat kesan inflasi, kemelesetan ekonomi serta dibelenggu kos sara hidup tinggi.

Lantaran itu, mengapa pekerja wajar mendapat imbuhan tambahan seiring dengan peredaran masa?

Memetik kata aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye, apabila pekerja berasa dihargai dan diberi pampasan secukupnya, mereka berkemungkinan akan lebih bermotivasi serta komited untuk menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

Hujah Lam Thye, skim gaji penjawat awam sememangnya patut dibangkitkan setiap tempoh lima tahun kerana kenaikan kos sara hidup memaksa pertambahan gaji dalam kalangan masyarakat.

Kesimpulannya, gaji tidak mencukupi boleh menimbulkan tekanan kewangan kepada pekerja.

Semoga tahun depan, penjawat awam akan mendapat berita gembira!

BERITA LAIN

BERITA TERBARU