KUCHING: Anak-anak Razali — Mohd Nur Badwi Razali dan Izwandie Razali mencuri tumpuan apabila masing-masing menjuarai kategori berbeza pada Pertandingan Pickleball Beginner Tertutup Rampangi dan Badminton Novis Kejiranan Mesra (KJM) Pantai Damai 2026.
Kejohanan tersebut disertai seramai 84 peserta membabitkan 16 beregu bola pikel terdiri daripada penduduk sekitar Rampangi dan 26 beregu badminton dari kawasan Pantai Damai.

Pengerusi program, Awang Ridzwan Awang Hashim berkata, penganjuran pertandingan ini bertujuan memperkenalkan sukan berkenaan kepada komuniti setempat, khususnya golongan pemula.
“Pertandingan ini dilaksanakan bagi memupuk semangat kesukanan dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk, selain menyokong usaha melahirkan bakat baharu dari peringkat akar umbi,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Awang Ridzwan berkata, penganjuran berkenaan mencapai objektif yang ditetapkan, selain membuka ruang kepada komuniti setempat untuk mengambil bahagian dalam aktiviti sukan.
Dalam saingan beregu bola pikel terbuka lelaki, Abang Mohd Arasy dan Mohd Nur Badwi Razali meraih gelaran juara selepas menewaskan pasangan Niezam dan Mohd Alwie.

Bagi kategori beregu campuran lelaki dan wanita, Izwandie Razali dan Rapiah Sapaei menjuarai saingan, manakala Mohd Hafiz dan Rakinah Ramli selaku naib juara.
Kesemua pemenang menerima hamper sebagai hadiah.
Sementara itu, kategori badminton beregu campuran usia terbuka dan veteran 45 tahun ke atas menyaksikan Dollah Ibrahim dan Zai Suhaimi dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Affie Mazuan dan Mohd Termidy 42-40 pada aksi final.

Pasangan juara membawa pulang wang tunai RM600 berserta piala, manakala Affie Mazuan dan Mohd Termidy selaku naib juara menerima RM400 serta piala.
Tempat ketiga bersama menjadi milik Mohd Zulfikar-Mohd Mustazir dari Kampung Temenggong serta Surjono Gimo-Jamri Amat Sailan dari Kampung Temedak. Kedua-dua pasangan menerima wang tunai RM200 berserta piala.
Program berkenaan dianjurkan bersama KJM Kampung Rampangi dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Rampangi Fasa 1 sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 berlangsung dari 17 hingga 19 September lalu di Dewan Kampung Rampangi.
Ia disokong Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menerusi KJM serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional menerusi KRT melalui bantuan dana.

