KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggalakkan wanita memperoleh ilmu keusahawanan serta kemahiran menjana pendapatan bagi meningkatkan taraf ekonomi diri dan membantu keluarga.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata wanita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada suami dan anak-anak, sebaliknya digalakkan menceburi perniagaan termasuk penghasilan produk kraftangan dan seni kreatif.
Beliau menekankan bahawa Sarawak kaya dengan budaya unik yang berpotensi dijadikan produk kreatif, sekali gus membuka peluang kepada wanita untuk menjana pendapatan sendiri serta menyumbang kepada ekonomi negeri.
“Kita mempunyai platform seperti Program Wanita Dinamik. Kami membuka ruang kepada mereka untuk menonjolkan kreativiti sendiri di seluruh Malaysia.
“Ini antara cara membantu meningkatkan pendapatan keluarga. Apabila wanita memperoleh pendapatan sendiri, ia turut membantu keluarga mereka,” katanya kepada media selepas Majlis Penutupan dan Pameran Dayung Warisan: Dayung Young Heritage Leaders Programme di Mahkamah Lama Kuching, hari ini.
Nancy berkata apabila wanita memperoleh pendapatan sendiri, ia bukan sahaja membantu keluarga, malah menyumbang kepada ekonomi negeri secara lebih meluas.
Majlis Penutupan dan Pameran Dayung Warisan merupakan kemuncak Program Dayung Young Heritage Leaders, iaitu inisiatif kepimpinan warisan dan pembangunan kapasiti yang memperkasakan wanita menjalankan penyelidikan, mendokumentasikan serta mempersembahkan warisan budaya Sarawak.
Acara ini berlangsung hari ini di Mahkamah Lama, Kuching dari pukul 9.30 pagi hingga 6.00 petang.
Program ini dibimbing oleh mentor Sarah Lois Dorai (pengarah filem dan penerbit Kelabit), Juvita Tatan Wan (pengasas bersama Tuyang), Eleanor Nandong (pengasas Benang) dan Sonia Luhong Wan (pengasas bersama Borneo Bengkel), serta mentor pembantu Steff Landong, Jasmine Dadi, Pici Pamg dan Aishah Chong.
Sepanjang dua bulan lalu, 27 peserta berjaya menyiapkan 18 projek warisan merangkumi dokumentari, audio siar, zine, bengkel kraftangan dan pemasangan interaktif yang mencerminkan kepelbagaian tradisi serta naratif komuniti di Sarawak.
Acara ini turut menonjolkan kerjasama dengan HAUS Kuching, Tuyang, Indah House Kuching, Mahkamah Lama dan Amogha Travels and Tours. Dengan tamatnya projek perintis, peserta kini bersedia memperluas inisiatif, membina rangkaian dan terus menyumbang kepada landskap budaya Sarawak.
Pameran ini juga mungkin diteruskan di The Spring, Kuching dari 6 hingga 28 Mac 2026 sebagai sebahagian daripada Festival Seni Kita, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai mengakses projek warisan inovatif berpusatkan komuniti.



