ARTIKEL

JAWAB…. Snowdan ketika menjawab soalan ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki, dalam persidangan DUN Sarawak, hari ini. (FOTO: GHAZALI BUJANG)

Galakkan masyarakat tempatan terlibat dalam aktiviti pelancongan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dengan pelancongan bekerja rapat dengan masyarakat tempatan untuk menggalakkan penglibatan mereka dalam perancangan dan penganjuran aktiviti warisan.

Timbalan Menterinya, Datuk Snowdan Lawan berkata, masyarakat tempatan aktif menjual produk makanan tradisional, kraf dan mengambil bahagian dalam persembahan serta permainan tradisional yang mempamerkan warisan budaya.

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu mempamerkan warisan mereka, malah menggalakkan kesedaran budaya kepada orang ramai.

“Bukan itu sahaja, ini membantu memupuk aktiviti pelancongan yang dipacu oleh masyarakat di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, Majlis Kraf Sarawak (MKS) juga menganjurkan program dan acara seperti Minggu Kraf dan Bazar Kraf untuk memperkasa masyarakat tempatan mempromosi produk mereka di pasaran.

Jelasnya, MKS juga meningkatkan keterlihatan produk kraf tempatan dengan menyertai acara antarabangsa, serantau dan tempatan seperti Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), Hari Kraf Kebangsaan, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), Pameran Pelancongan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan sebagainya.

Sehubungan itu, Snowdan yang juga ADUN Balai Ringin memberitahu, kementeriannya telah melaksanakan beberapa strategi untuk mengukuhkan industri kreatif Sarawak, dengan memberi tumpuan kepada pemeliharaan budaya, pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan.

“Ini adalah dengan penubuhan Majlis Kesenian Sarawak (MPS) di bawah Ordinan Majlis Kesenian Sarawak 2008 dan MKS di bawah Ordinan Majlis Kraf Sarawak 2023.

“Di samping itu, melalui geran tahunan MYSENI SAC bernilai RM1 juta, sebanyak 40 permohonan berjumlah RM953,000 telah diluluskan yang mana ia memberi manfaat kepada sembilan individu, 12 persatuan, lapan komuniti dan 11 syarikat setakat November ini.

“Kita juga perlu mengambil perhatian akan acara antarabangsa iaitu penganjuran Ekspo dan Persidangan Global Borneo Craft 2024 yang berlangsung pada 27 November hingga 1 Disember depan bertujuan untuk meraikan Kuching sebagai Bandaraya Kraf Antarabangsa bertemakan ‘Penduduk Tempatan Global’,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Snowdan menyatakan bahawa kementeriannya sedang membangunkan Direktori Industri Kreatif iaitu pangkalan data komprehensif kepada semua pemain industri kreatif di Sarawak dan dijangka siap pada April 2025 yang mana setakat ini melibatkan 2,116 peserta di seluruh Sarawak.

Tambahnya, direktori tersebut akan berfungsi sebagai sumber berharga untuk kedua-dua sektor awam dan swasta yang mengukuhkan industri kreatif dengan meningkatkan keterlihatan serta memupuk peluang baharu untuk kerjasama dan pertumbuhan.

Terdahulu, Snowdan memberitahu hampir separuh daripada acara yang diadakan di Sarawak berkaitan dengan warisan budaya seperti Pesta Kaul di Mukah, Pesta Kebudayaan Dayak Kapit, Hari Bung Bratak di Bau dan sebagainya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU