KUCHING: Seorang wakil syarikat pinjaman wang berlesen didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, kerana mengganggu dan mengugut seorang pemilik bar, dua tahun lalu.
Tertuduh berusia 47 tahun itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai pihak pemberi pinjaman wang sebuah syarikat telah menganggu seorang peminjam wanita berusia 36 tahun di tempat perniagaannya.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah bar di Jalan Tun Jugah, sekitar 11.40 malam, 3 Oktober 2023.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak kurang daripada RM50,000 sehingga RM250,000 atau kedua-dua sekali, bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh disebat sebagai hukuman tambahan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng menawarkan jaminan tunai RM10,000 dan dua penjamin tempatan kepada tertuduh.
Namun, peguam bela Jackson Ngu dan Daniel Ling yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan diringankan kepada jaminan tunai RM2,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Ia berikutan, tertuduh tidak berisiko melarikan diri kerana mempunyai keluarga untuk dijaga serta perlu turun bekerja.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan tunai RM5,000 beserta seorang penjamin tempatan.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh perlu melaporkan diri di mana-mana balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.
Noorhisham menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 26 Februari depan.


