KRISIS bekalan dan tenaga global hari ini tergolong dalam kategori kedua. Ia tidak menukar langit menjadi gelap, tetapi perlahan-lahan menukar harga di pasar, bil elektrik di rumah, dan kos perjalanan harian rakyat biasa.
Seperti yang ditegaskan oleh Tan Sri Mohd Hassan Marican, isu ini tidak wajar dilihat sematamata sebagai turun naik harga minyak. Ia adalah gangguan fizikal terhadap rantaian bekalan global daripada tenaga, logistik, bahan mentah sehinggalah kepada makanan.
Dalam dunia yang saling bergantung, apabila satu pautan terganggu, seluruh rantai terasa hentakannya. Di Malaysia, kesannya mula terasa secara berperingkat.
Kos bahan api dan pengangkutan menjadi isyarat awal. Seterusnya, ia meresap ke sektor pembinaan, makanan, pembuatan, dan akhirnya ke dapur isi rumah. Harga barang naik bukan kerana satu faktor, tetapi kerana kesan berganda daripada sistem bekalan yang semakin tertekan.
Dalam bahasa mudah: apabila kos logistik naik, hampir semua perkara ikut naik. Namun Malaysia masih berada dalam kedudukan relatif lebih stabil berbanding banyak negara lain.
Ini kerana kekuatan ekosistem minyak dan gas domestik serta peranan institusi seperti PETRONAS yang membantu menstabilkan sebahagian tekanan. Tetapi kestabilan ini bukan jaminan kekal.
Sebagai ekonomi terbuka, Malaysia tetap terdedah kepada kejutan global yang boleh datang tanpa amaran. Bagi rakyat, langkah paling penting ialah menyesuaikan diri dengan realiti baharu ekonomi global ini. Pengurusan kewangan isi rumah perlu lebih berdisiplin.
Perbelanjaan tidak penting perlu dikurangkan, manakala tabungan kecemasan perlu diperkukuh. Dalam masa yang sama, perubahan gaya hidup kecil seperti penggunaan tenaga secara berhemah, perkongsian kenderaan dan pembelian berasaskan keperluan sebenar boleh membantu mengurangkan tekanan kos.
Rakyat juga perlu lebih peka terhadap maklumat ekonomi agar tidak panik dengan setiap kenaikan harga yang bersifat sementara.
Jika diperluaskan pandangan ke rantau Asia, kesannya lebih pelbagai tetapi arah tekanannya sama. Indonesia, sebagai negara pengeluar tenaga, masih terkesan melalui subsidi bahan api yang membebankan fiskal negara. Thailand pula bergelut dengan sektor pelancongan dan pengangkutan yang sensitif terhadap harga tenaga.
Singapura, walaupun mempunyai pengurusan ekonomi yang cekap, tetap berdepan kos import tenaga yang tinggi yang akhirnya diterjemahkan kepada kos sara hidup yang mahal.
Filipina pula antara yang paling terkesan kerana kebergantungan tinggi terhadap import tenaga dan sensitiviti harga makanan import. Perbezaannya hanya pada tahap ketahanan struktur ekonomi, bukan pada hakikat bahawa semua negara sedang diuji oleh gelombang yang sama.
Dalam konteks ini, kerajaan tidak boleh bersifat reaktif sematamata. Pendekatan jangka pendek seperti subsidi bersasar, bantuan tunai dan kawalan harga tertentu masih diperlukan untuk melindungi kumpulan rentan.
Namun dalam jangka panjang, reformasi struktur subsidi perlu diteruskan agar tidak membebankan fiskal negara. Ketahanan fiskal adalah sebahagian daripada keselamatan nasional.
Selain itu, pelaburan dalam keselamatan tenaga dan makanan perlu diperkukuh. Malaysia harus mengurangkan kebergantungan luar secara berperingkat melalui pengukuhan pengeluaran domestik, teknologi tenaga boleh baharu, dan rantaian bekalan yang lebih mampan.
Dalam masa yang sama, komunikasi kerajaan kepada rakyat mesti jelas dan telus agar tidak timbul panik ekonomi yang tidak perlu. Akhirnya, krisis ini bukan sekadar ujian ekonomi. Ia adalah ujian daya tahan negara dan masyarakat.
Dalam jangka pendek, rakyat akan terus berdepan tekanan kos hidup yang meningkat. Dalam jangka panjang, negara yang mampu menyesuaikan dasar, memperkukuh asas fiskal dan mengurus sumber dengan berhemah akan keluar lebih kuat daripada gelombang ini.
Sejarah ekonomi dunia sering membuktikan satu perkara: krisis tidak pernah kekal selamanya, tetapi kesan ketidaksediaan boleh berpanjangan.
Malaysia kini berada di persimpangan itu antara menanggung beban sementara, atau membina ketahanan jangka panjang yang lebih kukuh untuk masa depan.


