ARTIKEL

Foto: 'Doraemon' dibawa keluar dari bilik Mahkamah Sesyen 4 oleh anggota polis.

Gara-gara pencedok tidak dipulangkan, ‘Doraemon’ serang bapa saudara di Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki yang dikenali dengan gelaran ‘Doraemon’ dijatuhkan hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini,hari ini, kerana mencederakan bapa saudaranya menggunakan sebilah sabit.

Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham lama berhubung pencedok yang dipinjam tertuduh daripada mangsa tetapi belum dipulangkan.

Tertuduh, 33, dari Kampung Bintawa, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Shafiza Datuk Abdul Razak Tready.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 47 tahun menggunakan sebilah sabit, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Bintawa Ulu, kira-kira 2.15 petang, 7 Oktober lalu.

Berdasarkan fakta kes, mangsa sedang berada di rumahnya sebelum didatangi tertuduh yang memegang sebilah sabit lalu menegurnya.

Tertuduh kemudian secara tiba-tiba menyerang mangsa dengan melibas senjata itu sehingga berlaku pergelutan di antara mereka.

Pergelutan tersebut mengakibatkan mangsa mengalami luka berdarah pada rusuk kanan.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Selain itu, mangsa menerima rawatan dengan sembilan jahitan pada rusuk kanannya.

Siasatan mendapati mangsa mengenali tertuduh sejak kecil dan mereka telah lama tinggal berjiran.

Beberapa orang saksi kejadian dikenal pasti, termasuk seorang yang merakam kejadian itu melalui tingkap rumah.

Semakan rekod mendapati tertuduh mempunyai sembilan rekod jenayah lampau, termasuk tiga kes penyalahgunaan dadah, tiga kes curi serta masing-masing satu kes perjudian, khianat dan bahan lusuh.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Logeswara Tharumalay@Krishnan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU