ARTIKEL

CENDERAHATI… Sudirman menyampaikan cenderahati kepada Nancy pada Majlis Lawatan Kerja Rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu dan sesi penyerahan sumbangan peralatan bagi Program Rangkaian Kasih di sini, hari ini.

Garis panduan baharu BDR pastikan kelangsungan penyampaian perkhidmatan awam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LUNDU: Kerajaan sedang mengkaji semula pendekatan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam bagi memastikan ia lebih praktikal serta selari dengan keperluan semasa pelbagai sektor.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penambahbaikan itu dibuat susulan maklum balas berhubung kekangan pelaksanaan serta keperluan mewujudkan fleksibiliti tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan pekeliling baharu yang memperincikan garis panduan terkini BDR sebagai usaha menyeragamkan amalan kerja tersebut dalam sektor awam,” katanya.

Nancy berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu dan sesi penyerahan sumbangan peralatan bagi Program Rangkaian Kasih di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Nancy menjelaskan bahawa perbincangan di peringkat Kabinet mendapati terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian, khususnya keperluan menyesuaikan dasar berkenaan mengikut bidang tugas.

Beliau berkata, tidak semua peranan sesuai dilaksanakan secara BDR, terutama melibatkan anggota keselamatan, pendidik serta petugas barisan hadapan.

Selain itu, wujud isu ketidakseimbangan peluang apabila kebanyakan jawatan yang membolehkan BDR lebih tertumpu di kawasan bandar, sekali gus dibimbangi memberi kesan kepada penjawat awam di luar bandar.

Beliau menambah, bagi memastikan pelaksanaan lebih tersusun, ketua jabatan diberi tanggungjawab menilai kesesuaian setiap jawatan di agensi masing-masing agar dasar tersebut dapat dilaksanakan secara adil serta berkesan.

Menurutnya, kerajaan komited untuk terus memperhalusi dasar berkenaan dari semasa ke semasa dengan mengambil kira keseimbangan antara fleksibiliti bekerja dan tahap produktiviti, selain memastikan perkhidmatan kepada rakyat kekal optimum.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU