DI atas kertas, Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kali ini amat penting dan relevan. Ini kerana ia dibaca sebagai sandaran atau signal, siapakah pemimpin pelapis utama yang bakal memimpin Sarawak untuk tempoh lima tahun akan datang.
Secara realiti, banyak yang percaya transformasi dan peralihan kuasa akan berlaku dalam tempoh tersebut, sebelum tahun 2030, kerana Premier, yang juga Yang diPertua PBB, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sudah mula bercakap tentang “formula peralihan ruang dan peluang” kepada golongan muda – terutama dengan pengenalan Sayap Belia.
Dan kepentingan untuk memberikan pengalaman yang ranum dan masak dihadirkan kepada mereka yang bakal mengambil alih tampuk kepimpinan parti itu.
Dan kerana itu, beberapa saintis politik berpandangan, sesiapa yang menang dalam memegang jawatan utama bagi parti yang menguasai lebih separuh daripada Dewan Undangan Negeri Sarawak ini, memiliki peluang untuk berada dalam saf kepimpinan Sarawak ketika peralihan berlaku kelak.
Justeru amat penting untuk seluruh perwakilan daripada 82 cawangan yang turut serta untuk memilih mereka yang benarbenar layak, berkebolehan dan berwibawa untuk berada dalam senarai jawatankuasa baharu yang bakal diumumkan pada hujung minggu ini.
Dengan konsensus untuk mengekalkan lima pemegang jawatan utama parti tanpa pertandingan, selain Naib Presiden sayap Pesaka yang turut “menang tebing”, tumpuan sudah tentunya beralih kepada saingan jawatan Naib Presiden parti bagi sayap Bumiputera.
Menurut pengumuman Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti tersebut, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, jawatan Naib Presiden parti sayap Bumiputera kali ini menyaksikan kesemua penyandang Datuk Seri Julaihi Narawi; Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Datuk Dr Annuar Rapaee akan mempertahankan kedudukan mereka.
Mereka akan dicabar oleh Datuk Len Talif Salleh dan muka baharu, Datuk Ibrahim Baki.

Sementara untuk saingan Ahli Majlis Tertinggi, sebanyak 20 calon akan merebut 16 kerusi yang dipertandingkan untuk Sayap Bumiputera, manakala 19 calon akan bertanding untuk 14 kerusi yang diperuntukkan untuk sayap Pesaka.
Menariknya dalam saingan Ahli Majlis Tertinggi ini, turut bertanding 20 ADUN termasuk tujuh Timbalan Menteri dan dua Ahli Dewan Negara akan mencuba nasib masing-masing. Ini menunjukkan jiwa besar mereka untuk menabur khidmat kepada parti yang berusia 52 tahun ini.
Dan mereka ini, termasuk pesaing lain yang terdiri daripada Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak dan wakil daripada cawangan-cawangan.
Ketika pemilihan inilah mereka perlu menonjolkan kemampuan dan keupayaan untuk menarik perhatian sebahagian besar para perwakilan yang ramai. Penulis pernah menghadiri beberapa pusingan pemilihan parti ini, dan ternyata apa yang menjadi sandaran utama ialah kebolehan, kewibawaan, “aura” dan keikhlasan setiap calon yang ada.
Bagi yang suka bermuka-muka, penuh muslihat dan agenda sebelum; sudah pasti pertandingan seperti ini adalah sesuatu yang perit dan menyakitkan.
Apatah lagi bagi mereka yang sebelum ini terlalu mudah menabur janji dan tidak memikir pun untuk menunaikannya.
Sebagaimana yang disebutkan awal, pemenang pemilihan kali ini mungkin menjadi pewaris kepimpinan parti pada masa depan, maka menjadi tanggungjawab semua ahli untuk memastikan mereka yang benar-benar layak dan berkemampuan yang harus dipangkah.
Pilihlah mereka yang dapat mempertahankan parti dari pelbagai sudut asakan, kerana cabaran masa depan parti ini akan lebih mencabar – apatah lagi dengan situasi tekanan di peringkat nasional yang pelbagai.
Pilihlah mereka yang mementingkan “Sarawak”, mengutamakan “perpaduan”, bersifat “tabayyun” dan mereka yang bercakap atas kebenaran, serta pejuang sebenar yang “gagah” meredah api politik lokal dan nasional.
Kerana Sarawak pada masa depan memerlukan pemimpin yang mampu berdaya tahan seperti ini dalam menghadapi serangan luar dan dalam parti, sentiasa berjiwa besar, kerana perjuangan “menuntut” hak Sarawak masih belum berakhir.
Justeru pilihan yang tepat pada waktu ini akan membantu “mempersiapkan” bakal pemimpin Sarawak seperti isyarat yang diberikan oleh Abang Johari dalam perhimpunan-perhimpunan di peringkat zon sebelum ini.
PBB akan terus bertahan untuk 10 ke 20 tahun lagi jika ia dapat mendisiplinkan pemilihan pemimpin secara profesional; berdasarkan wibawa, kemahiran dan kemampuan; bukan kerana aturan kaum, agama mahupun blok tertentu.
Pilih yang terbaik daripada yang terbaik, adalah rahsia untuk kekal lama; dan paling penting tidak dibumbui oleh politik wang dan politik projek. Hanya dengan demikian kita dapat memilih mereka yang berwibawa untuk terus menerajui negeri, dan menginsafi apa yang berlaku kepada parti besar seperti UMNO dan PKR.
Apa pun, terima kasih juga harus diberikan kepada para pemimpin yang berjiwa besar, sanggup berkongsi kek besar demi memastikan parti ini terus menelurkan pemimpin muda.
Antaranya termasuklah Datuk Dr Juanda Jaya yang membuat keputusan untuk memberi laluan kepada pemimpin muda, biarpun mendapat pencalonan dari 32 cawangan; serta Miro Simuh, yang melepaskan peranan Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda bagi memberi laluan kepada Datuk Martin Ben, kerana percaya sumbangan beliau lebih diperlukan.
Tidak mudah untuk melepaskan hidangan di atas meja ketika sedang lazat menjamu selera, namun mereka ialah antara yang memiliki jiwa besar, demi meneruskan kecemerlangan parti.

