ARTIKEL

Rubiah ketika mempengerusikan mesyuarat di Bilik Mesyuarat Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Samarahan, di sini, hari ini.

GEMA jadi platform belia teroka pendidikan dan kerjaya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Golongan belia dan pelajar sekolah di sekitar Kota Samarahan diseru hadir ke Program Gerakan Ekonomi MADANI (GEMA) yang bakal berlangsung dari 19 hingga 23 Ogos ini.

Acara yang diadakan di Halaman Samarahan itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperluas akses pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kemahiran serta peluang kerjaya khususnya kepada golongan belia luar bandar.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, penganjuran acara berkenaan merupakan antara pendekatan kementerian untuk turun padang dan mendekati komuniti menerusi pelbagai pengisian yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Menurutnya, antara pengisian utama ialah ekspo pendidikan, TVET serta keusahawanan yang memberi peluang kepada pelajar dan belia mendapatkan maklumat mengenai institusi pendidikan, bidang kemahiran serta peluang kerjaya yang tersedia.

“Sekarang TVET bukan lagi pilihan kedua, malah sudah menjadi pilihan utama kerana bidang kemahiran menawarkan peluang pekerjaan yang semakin luas,” katanya.

“Kita mahu pelajar dan belia mendapatkan maklumat yang tepat supaya mereka dapat membuat pilihan pendidikan dan kerjaya lebih awal,” katanya selepas menghadiri mesyuarat di Bilik Mesyuarat Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Samarahan, di sini, hari ini.

Rubiah ketika mempengerusikan mesyuarat di Bilik Mesyuarat Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Samarahan, di sini, hari ini.

Tambahnya, dua institusi TVET MARA di Sarawak, iaitu di Bintulu dan Kuching turut terlibat dalam pengisian GEMA menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta kursus jangka pendek.

Katanya, antara kursus yang ditawarkan termasuk elektrik, penyaman udara dan kimpalan, manakala GIATMARA turut menyediakan program berkaitan automotif, elektrik dan penyelenggaraan motosikal.

Jelasnya, pelibatan pelbagai institusi kemahiran itu penting bagi memberi pendedahan lebih luas kepada belia mengenai peluang pendidikan dan latihan yang bersesuaian dengan keperluan industri.

“Ini merupakan usaha KKDW untuk memastikan tidak ada golongan belia luar bandar yang tercicir daripada peluang pendidikan, kemahiran dan pekerjaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, program tersebut turut menjadi platform memperkasa usahawan luar bandar menerusi pameran, jualan dan padanan perniagaan, sekali gus menyaksikan 44 usahawan terlibat dalam pameran dan jualan.

Menurut beliau, usahawan yang terlibat terdiri daripada peserta yang dibimbing pelbagai agensi kerajaan termasuk MARA, RISDA, FELCRA, KEMAS serta agensi berkaitan pembangunan usahawan di Bahagian Samarahan.

“Program ini bukan sekadar memberi ruang kepada usahawan mempamer dan menjual produk, tetapi turut membuka peluang kepada mereka untuk mendapatkan pasaran baharu melalui padanan perniagaan,” katanya.

“Kita akan menjemput vendor dan pemain industri untuk melihat produk usahawan kita dan sekiranya berminat, mereka boleh menjalinkan kerjasama perniagaan secara terus,” jelasnya.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sarawak, Taufiq Mohd Yusof; Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak; Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin; serta Pegawai KEMAS Bahagian Samarahan, Muhammad Asyraf Md. Nor.
Kapsyen:

BERITA LAIN

BERITA TERBARU