KUCHING: Gabungan Penulis-Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) terus memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang sastera, bahasa dan budaya menerusi lawatan kerja ke Pejabat Suara Sarawak, di sini, Khamis.
Ketua 1 GEMA, Zainal Abidin Muhamad berkata, kunjungan itu menjadi platform memperluas hubungan antara penggiat sastera, media dan masyarakat, khususnya dalam usaha mengangkat karya serta aktiviti berkaitan bahasa dan kebudayaan.

Menurutnya, GEMA yang ditubuhkan pada 1985 menghimpunkan penulis baharu serta penggiat yang mampu mengetengahkan idea segar untuk pembangunan sastera, bahasa dan budaya.
Kunjungan ke Sarawak turut membuka ruang kepada GEMA untuk mengeratkan hubungan dengan institusi serta penggiat sastera tempatan, termasuk melalui kerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Dalam perkembangan berkaitan, GEMA akan melancarkan antologi puisi bertemakan Puteri Santubong yang menghimpunkan karya penulis Kelantan, UNIMAS serta warga universiti, malam ini.
Antologi berkenaan turut mengangkat tema Kelantan dan Sarawak sebagai wadah memperlihatkan hubungan budaya serta kreativiti penulis dari kedua-dua negeri.
Zainal Abidin berkata, antara cabaran yang dihadapi pertubuhan sastera dan kebudayaan ialah kekangan kewangan serta kesukaran menarik kehadiran masyarakat ke program berbentuk ilmu.
“Sebagai NGO, kami tidak mempunyai peruntukan khusus daripada kerajaan dan perlu mencari sumber kewangan sendiri. Pada masa sama, mencari penonton untuk program ilmu juga bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan media dalam memberi ruang kepada penggiat sastera mengetengahkan karya, aktiviti dan suara mereka, selain berharap kerjasama dengan Suara Sarawak dapat diteruskan bagi memperluas capaian kegiatan sastera, bahasa dan budaya.



