Gembira belajar walaupun perlu patuh garis panduan

KUCHING: Sebanyak 465 tadika di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan mula beroperasi pada 20 Julai ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, 19 tadika swasta pula mula beroperasi pada 17 Julai. Menurutnya, hingga semalam, pengusaha taska dan tadika (operator), guru, kanak-kanak dan ibu bapa berjaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dilaksanakan.

“Saya gembira dan mengucapkan tahniah kepada pihak operator yang bekerja keras membuat persiapan untuk pembukaan semula taska dan tadika. “Mereka telah memastikan segala SOP dipatuhi. Kebersihan dan segala program dirancang dengan baik supaya kanak-kanak tidak berkumpul serta tidak dekat di antara satu sama lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media baru-baru ini selepas menerima kunjungan hormat Ketua Negeri KWSP Sarawak Halim Boweng sempena kolaborasi Program i-Suri dengan Kerajaan Sarawak di Bangunan Baitulmakmur di sini.

Foto MOHD ALIF NONI

Masyarakat jelas Fatimah, tidak  perlu bimbang akan kesukaran kanak-kanak dalam menjaga jarak sosial. Menurutnya lagi, pemerhatian kementeriannya mendapati kanakkanak sangat mematuhi arahan dan memberikan kerjasama.

“Kita jangan memandang rendah akan kemampuan kanakkanak dalam mematuhi arahan dan panduan daripada guru mereka. “Kanak-kanak gembira kerana kembali ke sekolah, berjumpa dengan rakan-rakan dan dapat melalui proses pembelajaran walaupun terpaksa mematuhi SOP,” tambahnya.

Terdapat juga operator tadika belum beroperasi kerana ingin memastikan susunan bangku dan meja, bilik pengasingan, singki dan sebagainya mengikuti SOP.

Kesemua 236 taska di negeri ini telah memulakan operasi ketika pasca-Covid-19 bermula 1 Julai lalu. Setakat ini, masih belum ada taska diarah tutup ekoran pelanggaran SOP.

Suara Sarawak