TANJUNG MANIS: Generasi muda Sarawak perlu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan pendidikan, infrastruktur dan peluang yang disediakan kerajaan bagi memastikan mereka mampu bersaing dalam era teknologi yang berkembang pesat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kemajuan yang dinikmati generasi hari ini merupakan hasil usaha pembangunan yang dilaksanakan sejak beberapa dekad lalu.
Keadaan itu katanya perlu diteruskan dengan memastikan generasi baharu mendapat pendidikan dan pendedahan secukupnya supaya mereka mampu mengambil alih tanggungjawab membangunkan negeri serta negara pada masa depan.
“Anak-anak kita hari ini mempunyai peluang yang jauh lebih baik berbanding generasi terdahulu kerana pelbagai kemudahan dan ruang untuk mereka maju sudah disediakan,” katanya.
“Justeru, peluang ini perlu digunakan sebaik mungkin, termasuk mendapatkan pendedahan berkaitan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI),” katanya ketika merasmikan Karnival Pendidikan Kerjaya sempena Jerayawara PRO-DR di SMK Belawai, hari ini.
Len Talif berkata, pembangunan luar bandar tidak hanya bergantung kepada penyediaan jalan raya, sekolah dan jambatan, malah turut merangkumi kemudahan telekomunikasi serta akses kepada pendidikan dan teknologi yang berkualiti.
Katanya, walaupun masih terdapat kelemahan dalam aspek tertentu, usaha penambahbaikan perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan kemudahan awam yang dibangunkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Kerajaan mempunyai wawasan dan sasaran yang jelas untuk memastikan generasi akan datang menikmati kemudahan terbaik serta mempunyai keupayaan meneruskan kepimpinan dan pembangunan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya menjaga kemudahan awam yang disediakan dan tidak melakukan perbuatan vandalisme kerana kemusnahan harta benda awam bukan sahaja merugikan kerajaan, malah menjejaskan kepentingan masyarakat sendiri.
Menurutnya, pendidikan penting dalam membentuk kesedaran masyarakat untuk membezakan perkara yang membawa manfaat atau sebaliknya, selain memupuk rasa tanggungjawab terhadap keluarga, komuniti dan negara.
“Dahulu kita berdepan kekurangan dari segi peruntukan, infrastruktur dan kemudahan asas. Hari ini banyak perkara sudah berubah dan kita mempunyai peluang yang lebih luas,” katanya.
“Jadi, kita tidak boleh bergerak pada kadar yang sama seperti dahulu. Kita perlu melangkah lebih pantas, khususnya dalam bidang teknologi, supaya tidak ketinggalan berbanding negara lain,” katanya.


