Ada satu perubahan menarik yang semakin jelas kelihatan dalam kalangan generasi muda hari ini, khususnya Generasi Z.
Jika suatu ketika dahulu aktiviti melepak berjam-jam di kedai makan, pusat beli-belah atau sekadar menghabiskan masa tanpa tujuan dianggap sebagai perkara biasa dalam kalangan anak muda, kini semakin ramai yang memilih gaya hidup jauh lebih sihat.
Pemandangan anak-anak muda berjoging pada awal pagi, petang, memenuhi gimnasium, menyertai aktiviti berbasikal, mendaki bukit serta melakukan pelbagai kegiatan kecergasan bukan lagi sesuatu yang luar biasa.
Malah, kegiatan sedemikian semakin menjadi sebahagian daripada budaya baharu generasi ini.
Perubahan ini ialah sesuatu yang wajar dipandang secara positif.
Generasi Z sering dikaitkan dengan penggunaan telefon pintar, media sosial dan kehidupan yang begitu dekat dengan dunia digital.
Namun, pada masa sama, teknologi turut mendedahkan mereka kepada pengetahuan yang lebih luas mengenai kesihatan, pemakanan, kecergasan dan kepentingan menjaga tubuh sejak usia muda.
Di media sosial, misalnya, kandungan berkaitan larian, senaman di gimnasium, pemakanan sihat dan transformasi fizikal mudah mendapat perhatian.
Fenomena ini secara tidak langsung menjadikan gaya hidup aktif sebagai sesuatu yang dianggap menarik dan mempunyai nilai sosial tersendiri.
Jika dahulu golongan muda mungkin bertemu rakan dan duduk berjam-jam sambil minum di kedai kopi, hari ini tidak pelik jika mereka berjanji untuk bertemu di gimnasium atau keluar berjoging bersama-sama.
Bagi saya, ini merupakan satu perkembangan budaya yang cukup baik.
Saya sendiri dapat merasakan perubahan tersebut sejak tahun lalu.
Saya mula menjadikan aktiviti berjoging sebagai satu rutin, kira-kira empat kali seminggu di Tebingan Kuching.
Pada awalnya, ia mungkin sekadar usaha untuk menjadi lebih aktif.
Namun, apabila dilakukan secara konsisten, aktiviti berjoging bukan sahaja memberikan manfaat kepada tubuh, malah turut memberikan ruang untuk menenangkan fikiran selepas melalui kesibukan kerja dan rutin harian.
Lebih menarik, setiap kali berjoging di kawasan Tebingan Kuching, saya dapat melihat sendiri bagaimana aktiviti riadah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat bandar.
Ada yang berlari bersendirian dengan fon telinga, ada yang datang bersama-sama rakanrakan, malah ada juga keluarga yang mengambil kesempatan untuk berjalan dan bersenam bersama-sama.
Dalam kalangan anak muda pula, semangat mereka cukup ketara.
Ada yang benar-benar serius mengejar sasaran masa dan jarak tertentu, manakala sebahagian lagi sekadar mahu berpeluh sambil menikmati suasana petang.
Apa-apa pun tujuan mereka, perkara paling penting ialah mereka memilih untuk bergerak.
Sudah tentu kita tidak boleh mengatakan generasi terdahulu semuanya gemar membuang masa atau semua Generasi Z hari ini menjalani gaya hidup sihat.
Setiap generasi mempunyai kelompok dan kecenderungan masing-masing.
Namun, yang semakin jelas sekarang ialah kesedaran tentang kepentingan kesihatan semakin menjadi sebahagian daripada identiti golongan muda.
Mereka bukan sekadar mahu kelihatan sihat, malah semakin memahami kepentingan stamina, kekuatan fizikal, kesihatan mental dan disiplin diri.
Aktiviti seperti berjoging sebenarnya mengajar sesuatu yang lebih besar daripada sekadar kecergasan.
Berlari sejauh beberapa kilometer secara konsisten memerlukan disiplin.
Ada kalanya badan terasa ringan, ada kalanya kita berasa malas untuk keluar dan ada ketika cuaca pula kurang mengizinkan.
Namun, apabila seseorang mampu mengekalkan rutin itu dari minggu ke minggu, disiplin tersebut sedikit sebanyak akan mempengaruhi aspek kehidupan yang lain.
Begitu juga dengan mereka yang pergi ke gimnasium.
Perubahan fizikal tidak berlaku dalam masa beberapa hari.
Ia menuntut kesabaran, konsistensi dan kawalan diri. Nilai-nilai seperti inilah yang kita mahu lihat berkembang dalam kalangan generasi muda.
Masyarakat, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan juga harus menyambut perubahan ini dengan menyediakan lebih banyak ruang riadah yang selamat dan selesa.
Laluan joging, taman awam, laluan berbasikal dan kemudahan sukan tidak seharusnya dianggap sebagai suatu kemewahan, sebaliknya sebagai sebahagian daripada keperluan sebuah bandar moden.
Tebingan Kuching, misalnya, bukan sekadar lokasi pelancongan.
Pada waktu pagi dan petang, kawasan ini menjadi ruang sosial dan riadah kepada masyarakat.
Akhirnya, kecenderungan anak muda memilih kasut larian dan aktiviti kecergasan daripada menghabiskan masa berjam-jam dengan melepak merupakan sesuatu yang patut diraikan.
Jika gaya hidup sihat ini terus berkembang, kita bukan sahaja akan mempunyai generasi yang lebih cergas secara fizikal, malah mudah-mudahan akan lahir generasi yang lebih berdisiplin, yakin dan menghargai kesihatan.
Kadangkala, perubahan besar dalam masyarakat bermula dengan perkara yang cukup mudah — sepasang kasut, beberapa kilometer perjalanan dan keputusan untuk terus bergerak.



