KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus membuktikan komitmennya dengan pembangunan menyeluruh dan kesejahteraan rakyat menerusi Belanjawan Sarawak 2027, sekali gus mencerminkan pendekatan pentadbiran yang inklusif tanpa mengira kaum dan agama.
ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, belanjawan yang dibentangkan itu memperlihatkan perbezaan ketara antara pendekatan politik GPS yang mengutamakan penyelesaian masalah rakyat dengan pembangkang yang lebih cenderung memainkan sentimen negatif.
“Pembangkang mungkin melabelkan belanjawan sebagai belanjawan pilihan raya, namun tanggapan itu tidak menggambarkan dasar kerajaan GPS yang secara konsisten meletakkan pembangunan dan kepentingan rakyat sebagai keutamaan setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Safiee berkata, kerajaan GPS memilih pendekatan politik yang membawa penyelesaian dan manfaat kepada rakyat, berbanding politik toksik yang boleh mencetuskan perpecahan melalui penyebaran sentimen perkauman serta isu sensitif dalam masyarakat.
Katanya, pentadbiran negeri sebaliknya berusaha memastikan setiap dasar dan inisiatif pembangunan dilaksanakan secara adil, dengan mengambil kira keperluan masyarakat daripada pelbagai latar belakang demi mengekalkan keharmonian serta perpaduan rakyat Sarawak.
Beliau menyifatkan pendekatan itu sebagai politik penawar, iaitu usaha menangani kesulitan rakyat melalui pelaksanaan dasar yang bertanggungjawab, amanah dan berintegriti, selain memperkukuh kebajikan, meningkatkan keselesaan hidup serta memperluas peluang pembangunan.

