KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum memutuskan untuk membantu calon Kerajaan Perpaduan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu akan diputuskan selepas perbincangan dengan kepimpinan tertinggi GPS.
“Saya akan berbincang dengan kepimpinan tertinggi GPS,” katanya ketika ditanya mengenai perkara itu, pada sidang media selepas merasmikan Tadika Komuniti SeDidik Penan di Kawasan Apoh/Tutoh di Tadika SeDidik Penan Long Leng di sini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas majlis Merarau Ngiling Tikai anjuran Parti Rakyat Sarawak (PRS) di Sri Aman, baru-baru ini menyatakan harapan agar pemimpin GPS dapat turun padang membantu calon BN menghadapi PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau mahu agenda kestabilan politik di Sarawak menjadi contoh serta diguna pakai oleh jentera gabungan berkenaan semasa berkempen kelak.
“Saya telah berbincang dengan Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk membawa tokoh daripada GPS bagi membantu kempen di enam negeri… insyaAllah, (Pengerusi GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri akan pilih siapa yang akan turun untuk bantu kita dalam PRN nanti,” kata Zahid.


