KUCHING: Kerajaan Sarawak akur sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang diadakan menggunakan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), meskipun negeri itu telah meluluskan pertambahan 17 kerusi baharu.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu tidak menjejaskan keyakinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk meraih kemenangan sama ada PRN diadakan dengan 82 atau 99 kerusi DUN.
“Kita akur kepada keputusan SPR kerana proses ini perlu melalui beberapa peringkat termasuk pameran kepada orang ramai, penelitian terhadap sebarang bantahan atau maklum balas yang diterima sebelum dipamerkan semula, dan dijangka mengambil masa kira-kira enam hingga tujuh bulan.
“Pilihan raya kita adalah proses demokrasi, jadi mestilah mengikut kerangka undang-undang di bawah SPR,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan dana pembinaan bangunan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok di Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani, Jalan Kulas, di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan pertambahan 17 kerusi baharu itu tidak sempat dilaksanakan sebelum PRN akan datang, beliau berkata keadaan tersebut bukan satu masalah.
“Kemungkinan tidak sempat… tiada masalah, 82 (kerusi) pun boleh, 99 (kerusi) pun boleh.
“82 kerusi pun kita boleh menang besar. Apa yang diambil kira ialah kestabilan politik dan juga hala tuju kita. Saya rasa kita telah melaksanakan tugas kita dengan sebaik mungkin.
“Walaupun banyak perkara yang tidak saya janjikan dalam manifesto, saya telah laksanakannya. Salah satunya ialah pendidikan tinggi percuma yang memberi manfaat kepada mereka yang mempunyai anak dan juga golongan muda untuk masa depan,” jelasnya.



