KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meletakkan calon di semua kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pengerusi GPS itu berkata, walaupun tarikh pilihan raya masih belum diketahui, GPS tetap bersedia untuk bertanding di semua kerusi kerana yakin hanya parti itu mampu mengurus hal ehwal Sarawak dengan berkesan.
“Hanya GPS yang mampu mengurus Sarawak. Walaupun kita bekerjasama dengan rakan di Semenanjung Malaysia, hanya orang Sarawak yang benar-benar memahami budaya dan politik negeri ini.
“Kita bersaudara, bekerjasama dan saling menghormati hubungan ini,” katanya ketika menyampaikan penangguhan Konvensyen GPS 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menegaskan bahawa Sarawak tidak memerlukan campur tangan parti luar kerana wilayah ini mempunyai kerjasama politik yang kukuh dan harmoni.

“Kita bersaudara, tetapi jangan ganggu keluarga Sarawak. Kita bukan menolak Malaysia, sebaliknya mengambil kira kehendak negara secara keseluruhan.
“Jika Sarawak maju, Malaysia juga akan maju. Jika ekonomi Sarawak kuat, ekonomi Malaysia turut kuat kerana hasil negeri disalurkan ke Kerajaan Pusat,” jelasnya.
Menurutnya, kekuatan ekonomi Sarawak memberi sumbangan besar kepada Putrajaya, justeru kestabilan wilayah ini penting dalam memastikan kestabilan negara secara keseluruhan.
Beliau turut menjelaskan bahawa Sarawak sering dilabel sebagai penentu kuasa (kingmaker), namun, hakikatnya GPS tidak melihat peranan tersebut sebagai pendirian.
Bagaimanapun, beliau menegaskan agar tiada pihak mengambil kesempatan ke atas sikap terbuka dan kerjasama yang ditunjukkan oleh Sarawak.
Beliau menambah, tuntutan hak Sarawak bukanlah berasaskan ketamakan, sebaliknya demi memastikan keadilan kepada negeri ini dalam kerangka Persekutuan Malaysia.


