ARTIKEL

Kredit: FB Fadillah Yusof

GPS tekad terus pertahan mandat rakyat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kesediaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bertanding di semua kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang merupakan satu manifestasi keyakinan untuk terus mempertahankan mandat rakyat serta meneruskan agenda pembangunan negeri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof menerusi kenyataan Facebook berkata, penegasan bahawa masa depan Sarawak harus ditentukan oleh rakyat sendiri mencerminkan prinsip kedaulatan negeri yang berteraskan aspirasi dan keunikan tempatan.

“Menerusi kestabilan politik, perpaduan serta kesinambungan kepimpinan, Sarawak akan terus melangkah sebagai negeri yang maju.

“Pada masa sama, kekal inklusif dan mapan untuk generasi akan datang,” katanya sambil menyokong ucapan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Konvensyen GPS 2026.

Tambahnya, kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan juga akan terus dipelihara berasaskan sikap saling menghormati demi kestabilan berterusan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyifatkan Abang Johari sebagai pucuk kepimpinan Sarawak yang berwawasan, berani dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Menurutnya, Sarawak merangka hala tuju masa depan yang progresif melalui pembangunan ekonomi berasaskan gas, tenaga boleh baharu dan industri hiliran, sekali gus membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Ini menggambarkan kepimpinan Premier fokus kepada kedaulatan hak, kemakmuran jangka panjang dan kesinambungan pembangunan Sarawak,” jelasnya.

Sehubungan itu, Fadillah juga menyambut baik ketegasan Premier dalam memperjuangkan hak Sarawak berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya dalam pengurusan sumber strategik seperti minyak dan gas.

“Pendekatan yang diambil adalah matang dan konstruktif, dengan menekankan prinsip keadilan serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri,” ringkasnya.

Fadillah menegaskan bahawa GPS komited untuk terus memastikan kestabilan politik, perpaduan rakyat serta kesinambungan kepimpinan melalui gabungan pengalaman dan generasi muda sebagai asas penting dalam menjamin kemakmuran jangka panjang.

“Justeru, seluruh lapisan rakyat tanpa mengira kaum harus bersama-sama ‘segulai sejalai’ dengan Kerajaan Sarawak dalam memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat dan Sarawak Maju Makmur,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU