SIBU: Para graduan Sarawak diingatkan untuk memegang teguh nilai kekeluargaan, tanggungjawab sosial, pemeliharaan alam sekitar, dan kemanusiaan dalam menghadapi dunia yang semakin kompleks dan mencabar.
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menegaskan bahawa pendidikan bukan sekadar mengenai pencapaian akademik, tetapi juga berperanan membentuk individu yang seimbang dan berintegriti.
“Graduan hari ini bukan sahaja diharapkan untuk cemerlang dalam bidang akademik, tetapi mereka juga harus menjadi individu yang berpegang pada nilai-nilai integriti yang tinggi.
“Kejayaan sebenar terletak pada kemampuan untuk menegakkan etika, akauntabiliti, dan kekuatan moral dalam kehidupan seharian,” katanya ketika berucap pada majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Sarawak Ke-9, hari ini.
Beliau turut menyeru agar para graduan merebut peluang yang ditawarkan oleh Kerajaan Sarawak menerusi inisiatif pendidikan tinggi percuma kepada rakyat Sarawak.
Katanya, peluang tersebut harus dimanfaatkan dengan baik dalam usaha meningkatkan kemahiran dan kepakaran, sekaligus menyumbang kepada kemajuan negeri Sarawak.
“Melalui inovasi dan kepimpinan anda, anda semua dapat memainkan peranan penting dalam menjayakan visi besar Sarawak untuk mencapai kemakmuran dan kemajuan.
“Saya percaya bahawa dengan semangat yang tinggi, kita akan mampu membina masa depan yang lebih cerah, khususnya untuk negeri ini,” ujarnya.


