BINTANGOR: Pelajar Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini diperkasa dengan kemahiran dan kebolehan melaksanakan pelbagai tugas seiring keperluan pasaran kerja, khususnya bagi memenuhi sektor perindustrian negara.
ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata Kementerian Sumber Manusia membangunkan Sistem Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) sebagai saluran utama pengambilan kursus TVET di seluruh Malaysia.
“Melalui sistem ini, terdapat dua kaedah pengambilan pelajar baharu iaitu Pengambilan Perdana dan Sepanjang Tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Ekspo dan Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Sarawak anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Meradong 2025 di Dewan Chen Ling Mei SMK Kai Chung, di sini semalam.
Menurutnya, sehingga 31 Disember 2024, terdapat 1,345 institusi TVET di Malaysia meliputi lebih 1,200 institusi awam di bawah 12 kementerian, 24 institusi kerajaan negeri dan 652 institusi swasta.
“Kemasukan ke program TVET meningkat daripada 166,577 pada 2022 kepada 212,022 pada 2024, dengan enrolmen keseluruhan naik daripada 394,976 pada 2022 kepada 436,285 pada 2024.
“Kadar kebolehpasaran graduan terkini mencapai 94.5 peratus,” jelasnya.
Beliau menjelaskan bahawa melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan giat membangunkan TVET dengan menekankan kesejahteraan rakyat, peningkatan pendapatan, pendidikan dan pembangunan.
“Kerjasama strategik antara institusi TVET dengan industri turut diperkukuh bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan teknologi,” ujarnya.
Katanya, TVET membuka peluang kepada pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar pelajar menguasai kemahiran kecerdasan buatan (AI) sebagai nilai tambah.
“Pelajar juga harus memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di Sarawak yang penting untuk komunikasi, khususnya di syarikat global, agar lebih berdaya saing dalam pasaran kerja,” tambahnya.
Sementara itu, Ding turut menyampaikan sijil kecemerlangan kepada 41 pelajar lepasan SPM dan STPM Daerah Meradong 2024 yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.


