ARTIKEL

Johnny Pang menyampaikan skrol kepada salah seorang graduan Kolej Vokasional Bintulu pada Majlis Graduasi Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Kali Ke-3 Kolej Vokasional Bintulu Tahun 2026.

Graduan TVET miliki prospek kerjaya luas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mempunyai prospek kerjaya yang semakin luas seiring perkembangan pesat sektor tenaga, minyak dan gas, teknologi digital, ekonomi hijau serta industri berasaskan inovasi di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pertumbuhan pelbagai sektor strategik itu memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dan kompeten bagi memenuhi permintaan industri yang terus berkembang.

Menurut beliau, kemahiran yang diperoleh graduan Kolej Vokasional Bintulu perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan merebut peluang yang tersedia dalam pelbagai bidang industri, khususnya di Bintulu yang kini muncul sebagai antara hab perindustrian dan pertumbuhan ekonomi utama negeri ini.

Johnny Pang berucap pada Majlis Graduasi Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Kali Ke-3 Kolej Vokasional Bintulu Tahun 2026.

“Graduan Kolej Vokasional Bintulu mempunyai peluang yang besar untuk mengaplikasikan kemahiran masing-masing dalam pelbagai sektor industri yang sedang berkembang pesat di Sarawak.

“Saya berharap para graduan akan terus meningkatkan kemahiran, menambah kelayakan serta sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Kali Ke-3 Kolej Vokasional Bintulu Tahun 2026 pada Sabtu.

Menurutnya lagi, kejayaan dalam alam pekerjaan tidak hanya bergantung kepada penguasaan kemahiran teknikal semata-mata, sebaliknya turut memerlukan nilai dan sikap positif seperti disiplin, amanah, tanggungjawab serta keupayaan bekerja secara berpasukan.

Tambahnya, perubahan teknologi yang berlaku dengan pantas menuntut graduan supaya sentiasa bersedia untuk terus belajar dan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

“Teknologi akan terus berubah dan cara kita bekerja juga akan berubah.

Apa yang kita tahu hari ini mungkin perlu diperbaharui beberapa tahun akan datang.

“Sebab itu, jadilah individu yang sentiasa mahu belajar, berani mencuba dan tidak takut menghadapi perubahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan graduan supaya tidak hanya melihat diri mereka sebagai pencari pekerjaan, sebaliknya berani meneroka bidang keusahawanan, inovasi dan teknologi bagi mencipta peluang baharu.

Menurutnya, graduan TVET berpotensi memainkan peranan penting dalam pembangunan Sarawak sekiranya mereka mampu memanfaatkan kemahiran serta pengetahuan yang dimiliki untuk menghasilkan idea dan penyelesaian baharu yang memberi nilai tambah kepada masyarakat dan industri.

“Jadilah generasi yang berani mencipta peluang, bukan sekadar menunggu peluang.

Jika ada minat dan kemampuan, terokailah bidang keusahawanan, inovasi dan teknologi.

“Siapa tahu, suatu hari nanti anda bukan sahaja mencari pekerjaan, malah mampu membuka peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya.

ADUN Tanjong Batu itu turut menitipkan tiga pesanan kepada para graduan sebagai panduan dalam melangkah ke alam pekerjaan dan kehidupan, iaitu “ada kemahiran, mesti ada sikap; ada peluang, beranilah mencuba dan ada kejayaan, jangan berhenti belajar.”

BERITA LAIN

BERITA TERBARU