ARTIKEL

Abdul Karim Rahman Hamzah (dua kiri) berbual dengan artis Great British Circus Alisa (kanan) dan Roxy sambil diperhatikan oleh Snowdan Lawan (kiri) | Foto: Ramidi Subari

‘Great British Circus’ kembali ke Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Persembahan Sarkas ‘Great British Circus’ akan kembali ke Sarawak tahun ini dengan sebuah produksi baharu, membawa hiburan langsung bertaraf antarabangsa ke beberapa bandar di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jelajah sarkas itu akan bermula dari 20 Mac hingga 26 April di Dataran Perayaan, Petra Jaya di sini.

Sarkas jelajah dari United Kingdom itu sebelum ini telah mengadakan persembahan di Sarawak pada 2024 dengan menarik kira-kira 40,000 pengunjung di Kuching, Miri dan Sibu.

Justeru jelas Karim, Sarawak terus menarik penganjuran acara serta persembahan antarabangsa selaras usaha negeri memperkukuh kedudukannya sebagai hab serantau bagi seni dan hiburan.

“Pelancongan di Sarawak berkembang dengan baik. Tahun lepas kita hampir mencapai sasaran lima juta pelawat, hanya kekurangan kira-kira 20,000.

“Saya yakin negeri ini akan melepasi sasaran lima juta pelawat tahun ini sempena Visit Malaysia Year kerana angka pelancongan menunjukkan peningkatan yang konsisten setiap tahun,” katanya pada sidang media persembahan sarkas itu di sini, hari ini.

Tapak Great British Circus di Dataran Perayaan, Petra Jaya | Foto: Ramidi Subari

Abdul Karim berkata Great British Circus merupakan antara acara tambahan dalam senarai program negeri yang bertujuan menarik pelawat sambil menyediakan hiburan mesra keluarga.

“Ia merupakan persembahan sarkas terkemuka di negara ini dan sarkas jelajah autentik dari United Kingdom, menawarkan hiburan berorientasikan keluarga untuk masyarakat tempatan, kanak-kanak serta pelawat,” katanya.

Beliau menggalakkan orang ramai membawa keluarga menyaksikan persembahan itu kerana hiburan secara langsung memberikan pengalaman yang berbeza berbanding menonton secara dalam talian.

Sarkas itu juga akan menjelajah ke Sibu, Miri dan Bintulu, dengan Bintulu menjadi lokasi baharu bagi jelajah Sarawak 2026.

Program seumpama itu membantu mewujudkan suasana lebih meriah di Sarawak serta memberi peluang kepada penduduk dan pelawat menikmati pelbagai aktiviti kebudayaan, hiburan dan pelancongan.

Sementara itu, pengasas Great British Circus, Kiril Yordanov Kirilov berkata, produksi baharu itu akan menampilkan tema baharu bertajuk “Legend of the Sea”.

“Kali ini kami menyediakan sesuatu yang sangat istimewa. Ia merupakan persembahan air yang melibatkan pencahayaan, makhluk laut serta watak yang diinspirasikan daripada legenda Atlantis,” ujarnya.

Produksi itu akan menampilkan khemah sarkas berwarna kuning dan biru yang lebih besar, teknologi pentas yang dipertingkatkan serta arena persembahan berasaskan air lengkap dengan pancuran dan air terjun.

Kiril berkata, maklum balas terhadap jelajah 2024 amat positif sehingga mendorong pihak penganjur kembali ke Sarawak dengan konsep baharu serta lokasi jelajah yang diperluas.

“Ia merupakan acara keluarga yang hebat untuk semua peringkat umur, daripada kanak-kanak hingga orang dewasa. Orang ramai menyukainya sebelum ini dan mahu kami kembali,” tambahnya.

Dalam masa yang sama Abdul Karim turut menggalakkan syarikat korporat menyokong acara itu dengan menaja tiket kepada kanak-kanak daripada institusi kurang bernasib baik seperti rumah kebajikan dan persatuan autisme.

Sementara itu, tiket bagi menyaksikan persembahan Great British Circus dijual pada harga bermula RM30 untuk kanak-kanak dan RM50 bagi dewasa bagi tempat duduk zon Rear pada hari bekerja (Isnin hingga Khamis).

Bagi zon lain pada hari bekerja, harga tiket kanak-kanak ditawarkan antara RM40 hingga RM90 manakala dewasa antara RM70 hingga RM130 bergantung kepada kategori tempat duduk iaitu Hot, Grand, Elite dan VIP.

Pada hari Jumaat, hujung minggu serta cuti umum dan cuti sekolah, harga tiket bermula RM40 bagi kanak-kanak dan RM60 bagi dewasa untuk zon Rear, manakala zon VIP masing-masing berharga RM120 untuk kanak-kanak dan RM150 bagi dewasa.


Tiket boleh dibeli secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi sarkas berkenaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,