LUBOK ANTU: Sarawak akan memastikan keperluan tenaganya sendiri mencukupi termasuk memenuhi grid tenaga Borneo terlebih dahulu sebelum menumpukan kepada permintaan grid tenaga Asia Tenggara.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu diputuskan meskipun terdapat permintaan daripada Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk Sarawak membekalkan tenaga boleh diperbaharui.
“Tetapi sebelum Sarawak memenuhi permintaan grid tenaga ASEAN, kita akan melengkapkan grid tenaga Borneo dahulu.
“Saya telah berkata kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kami akan melakukannya untuk keperluan kami di Borneo dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Loji Hidroelektrik (HEP) Batang Ai: 40 Tahun Menjana Tenaga Sarawak, di sini pada hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti merangkap Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Ibrahim Baki, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili dan Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Jelasnya, lebihan tenaga boleh diperbaharui Sarawak akan dijual untuk menjana pendapatan bagi menarik pelabur.
“Saya bimbang jika ada pihak mempersoalkan mengapa Kerajaan Sarawak memberikan tenaga yang dihasilkan kepada pihak luar terlebih dahulu.
“Saya tegaskan, ia hanya selepas terdapat lebihan. Jika ada lebihan, apa gunanya disimpan? Lebih baik dijual untuk kita memperoleh pendapatan,” ujarnya.
“Apabila kita memperoleh pendapatan, kita boleh membuat pelaburan semula. Ini kerana kita mahu menyediakan pendidikan percuma di peringkat universiti untuk anak-anak Sarawak bermula tahun hadapan, justeru kita perlu mempunyai ekonomi yang kukuh,” tambahnya.
Selain itu katanya, Sarawak berhasrat untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Bumi Kenyalang.
“Apabila terdapat bekalan tenaga boleh diperbaharui yang stabil dan mencukupi, barulah pelaburan akan lebih mudah untuk masuk,” tegasnya.
Sempena ulang tahun ke-40 HEP Batang Ai, Abang Johari menzahirkan ucapan tahniah kepada Sarawak Energy.

HEP Batang Ai telah memainkan peranan yang cukup besar kepada Sarawak sejak tahun 1985 sebagai projek kuasa hidro pertama di Sarawak.
Dengan kapasiti sebanyak 94 megawatt (MW), loji ini telah membekalkan tenaga elektrik boleh diperbaharui selama empat dekad, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan menyokong pembangunan Sarawak.
Batang Ai juga menandakan permulaan perjalanan tenaga boleh diperbaharui Sarawak.
Pengalaman daripada pembangunannya telah menyumbang kepada projek seperti Bakun dan Murum, mengukuhkan kuasa hidro sebagai sumber elektrik utama Sarawak dan meletakkan asas kepada aspirasi Sarawak untuk menjadi hab kuasa tenaga boleh diperbaharui bagi rantau ini.
Bagi komuniti setempat, Batang Ai telah menambah baik akses kepada bekalan elektrik, air paip, jalan raya, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Takungannya menyokong akuakultur air tawar dan ekopelancongan, dengan tilapia Batang Ai, penyelidikan hutan hujan dan pelancongan berasaskan rumah panjang kini menjadi sebahagian daripada identitinya.
Loji itu juga dikaitkan dengan pemuliharaan alam sekitar, dengan kawasan tadahannya bersempadan dengan Santuari Hidupan Liar Lanjak-Entimau dan Taman Negara Batang Ai, yang merupakan habitat penting bagi orang utan serta hidupan liar lain.
Pada hari ini, HEP Batang Ai terus menjana tenaga boleh diperbaharui.
Takungannya kini menjadi lokasi projek solar terapung berskala besar pertama Sarawak, satu langkah ke arah mempelbagaikan campuran tenaga boleh diperbaharui di negeri ini.
Batang Ai kekal sebagai pusat kepada perjalanan tenaga bersih Sarawak dan mencerminkan komitmen jangka panjang negeri ini terhadap kemampanan.

