ARTIKEL

Chua Kuan Ching menyampaikan ceramah pada Bengkel Anti-Gangguan Seksual di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, hari ini.

Guna pendekatan berkesan bantu mangsa gangguan seksual

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tindakan menularkan kes gangguan seksual di media sosial tanpa persetujuan mangsa boleh membawa implikasi negatif termasuk trauma berpanjangan serta menjejaskan proses menuntut keadilan.

Peguam dan rakan kongsi Messrs Simon Siah, Chua and Chow Advocates, Chua Kuan Ching berkata, persetujuan mangsa perlu diutamakan sebelum sebarang pendedahan dibuat kerana tidak semua mangsa bersedia untuk berdepan perhatian umum.

“Jika sesuatu kes ditularkan tanpa persetujuan, ia boleh menambah trauma kepada mangsa, apatah lagi apabila berdepan komen negatif dalam talian yang kadangkala menyalahkan mangsa atau mempertahankan pelaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Bengkel Anti-Gangguan Seksual di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, hari ini.

Donna, Krystal dan Chua Kuan Ching merakam gambar kenangan bersama semua peserta selepas Bengkel Anti-Gangguan Seksual di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, hari ini.

Menurutnya, reaksi masyarakat di media sosial yang tidak terkawal juga boleh menjejaskan peluang mangsa untuk mendapatkan keadilan secara sewajarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menggunakan pendekatan lebih berkesan dalam membantu mangsa gangguan seksual, termasuk memberi sokongan emosi dan menjadi pendengar yang baik.

“Individu juga boleh memaklumkan mangsa tentang prosedur pelaporan dalaman organisasi atau institusi pengajian tinggi serta saluran yang tersedia untuk mendapatkan bantuan,” jelasnya.

Dalam hal berkaitan, beliau turut berkongsi bahawa organisasi memainkan peranan penting dalam menyediakan persekitaran kerja yang selamat dengan mewujudkan garis panduan dan prosedur pelaporan yang jelas.

Beliau turut berkongsi bahawa antara langkah lain untuk membantu mangsa adalah dengan meningkatkan kesedaran melalui program mengenai hak individu.

Kerajaan Sarawak telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan Pekeliling Perjawatan Negeri Sarawak Bilangan 10 Tahun 2022 – Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual di Tempat Kerja dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.

“Garis panduan itu turut menetapkan bahawa ketua jabatan boleh dikenakan tindakan sekiranya gagal melaporkan kes gangguan seksual yang berlaku di bawah seliaan mereka,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU