DARO: Penduduk Daro kini menikmati bekalan elektrik 24 jam menerusi pelaksanaan projek elektrifikasi luar bandar, sekali gus mengurangkan beban kos penggunaan generator yang sebelum ini mencecah RM800 sebulan.
ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad, berkata pencapaian itu hasil pelaksanaan tiga projek Skim Elektrifikasi Luar Bandar (RES) Last Miles oleh Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta Sarawak Energy Berhad (SEB), dengan peruntukan hampir RM21 juta.
Beliau berkata, kawasan Sungai Mawan, Tanjung Keling, Sebinjai, Serban, Nanga Lassa dan Sawai menikmati bekalan elektrik 24 jam sejak dua tahun lalu, manakala projek di Batang Lassa, Matu bernilai RM7.7 juta siap sebelum sambutan Gawai Dayak tahun lalu.
“Projek di Nanga Passin, Matu yang melibatkan tujuh rumah panjang, sebuah klinik dan sebuah sekolah pula mula membekalkan elektrik secara stabil pada 16 Julai 2026 dengan kos RM6 juta. Penduduk kini membayar sekitar RM50 sebulan berbanding lebih RM500 sebelum ini,” katanya.
Berucap pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini, beliau berkata pencawang elektrik 132 kilovolt (kV) Daro bernilai lebih RM330 juta yang mula beroperasi pada 2019 turut meningkatkan kestabilan bekalan di Daro dan Matu.
Dalam sektor perhubungan, pembangunan Jambatan Muara Lassa, Jambatan Igan, Jambatan Batang Rajang dan Jambatan Batang Paloh, yang dijadual dibuka pada 30 Oktober ini, dijangka terus meningkatkan kesalinghubungan penduduk.
Kemudahan telekomunikasi turut dipertingkat menerusi sembilan menara SMART bernilai RM30.15 juta dan sembilan menara JENDELA bernilai RM21.6 juta yang sudah beroperasi, selain kemudahan WiFi MySRBN di Nanga Passin bernilai RM11.2 juta.
Sementara itu, pembangunan pendidikan merangkumi SK Kampung Penasu bernilai RM49.7 juta, SK Batang Lassa (RM57.5 juta), bangunan tambahan SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah Daro (RM31.5 juta) serta Perpustakaan, Pusat Digital dan Inovasi Daro bernilai RM8.5 juta.
Dr Safiee turut mencadangkan pembangunan ekonomi menerusi penanaman padi perennial di Nangar Besar, Tebingan Daro bernilai RM35 juta dan pembangunan Rizab Alam Semula Jadi Pulau Tun Ahmad Zaidi seluas kira-kira 547 hektar sebagai destinasi ekopelancongan. Beliau juga meminta kerajaan mempertimbangkan penyaluran air dari Loji Rawatan Air Basong, Mukah ke Daro bagi menangani kekurangan bekalan ketika musim kemarau.

