Guna teknologi intai jalan tikus

LUBOK ANTU: Kerajaan Sarawak akan menggunakan teknologi bagi memantau jalan tikus demi mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberitahu, jalan raya di kawasan Lubok Antu betul-betul bersebelahan dengan negara jiran, Indonesia.

“Guna motosikal mereka sudah boleh datang ke sini. “Maka, kita akan melihat jalan tikus seperti Jalan John, Ensawang dan lainnya dengan terpaksa menggunakan teknologi bagi mengetahui keadaan keluar masuk pendatang ini.

“Di samping bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama agensi lain kerana kita terpaksa mengawal kemasukan pendatang tanpa izin,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada sesi lawatan kerjanya ke Lubok Antu di sini, semalam. Hal ini kerana menurutnya, apabila ada perbincangan untuk mencari jalan mengawal kemasukan PATI, satu-satunya cara ialah fokus kepada jalan tikus.

“Inilah tujuan saya datang ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu semalam. “Melihat operasi di kawasan ICQS Lubok Antu dan juga memantau bagaimana trend penduduk berulang-alik antara kedua-dua negara,” ujarnya.

Masih mengulas perkembangan lain tentang jalan, Abang Johari meluluskan peruntukan untuk membina lampu jalan dari Pekan Lubok Antu ke ICQS, lebih tujuh kilometer dengan anggaran kos oleh Sarawak Energy Berhad kirakira RM3 juta.

“Saya meluluskan untuk membina lampu jalan dari Pekan Lubok Antu ke ICQS. “Maknanya pasukan keselamatan dapat berjaga selama 24 jam dengan keadaan terang.

Saya minta Majlis Daerah Lubok Antu untuk melaksanakannya dengan segera. “Satu lagi projek yang diluluskan ialah jambatan bagi menghubungkan kampung bersebelahan dan nampaknya ada tarikan di sini yang mempunyai banyak keindahan alam,” tambahnya.

Beliau terdahulu melawat ICQS dan tebingan sungai di Pekan Lubok Antu. Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Malcom Mussen Lamoh dan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang turut hadir sama.

Suara Sarawak