ARTIKEL

Guo Pei Terpesona Seni Keringkam Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kehalusan seni keringkam Sarawak menggunakan benang emas atau perak berpotensi digabungkan dengan teknik tekstil China bagi melahirkan karya baharu yang mengangkat identiti kedua-dua budaya.

Pereka Haute Couture (Adibusana) dari China, Guo Pei berkata, keunikan keringkam yang ditemuinya ketika mengunjungi Muzium Budaya Borneo memberi inspirasi kepadanya untuk meneroka kerjasama dengan penggiat seni tempatan.

Menurutnya, penggunaan benang emas dan perak dalam penghasilan keringkam menghasilkan corak yang memiliki keistimewaan tersendiri.

“Seni ini berbeza daripada apa-apa yang pernah saya lihat di China atau negara lain di seluruh dunia seperti Itali, Switzerland dan Perancis.

Guo Pei merakam gambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat selepas program ramah mesra bersama pengurusan Kraf Sarawak sempena pameran solo Guo Pei di Old Court House, di sini, hari ini.

“Saya berpendapat keringkam sangat unik dan menarik kerana penghasilannya memerlukan kemahiran serta teknik yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program ramah mesra bersama pengurusan Kraf Sarawak sempena pameran solo Guo Pei di Old Court House, di sini, hari ini.

Guo Pei meneliti proses menghasilkan keringkam.

Justeru, beliau berharap dapat bekerjasama dengan penggiat seni tempatan untuk menghasilkan karya yang menggabungkan budaya serta kemahiran seni tekstil Sarawak dan China.

“Saya berharap pada masa akan datang, saya berpeluang bekerjasama dengan penggiat seni tempatan untuk menghasilkan sebuah karya menerusi pertukaran budaya dan kemahiran,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan kunjungan pertamanya ke Muzium Budaya Borneo sebagai pengalaman yang memberi pengaruh serta impak besar terhadap dirinya.

“Saya pernah melihat banyak pameran di Kuala Lumpur, namun pameran di Borneo lebih menarik perhatian saya kerana ia lebih sesuai dengan inspirasi yang dicari.

“Saya datang ke sini kerana mahu mengenali dan berinteraksi dengan budaya tempatan kerana saya percaya ia merupakan kaedah yang baik untuk berkomunikasi serta mendekatkan masyarakat daripada latar belakang berbeza,” kongsinya.

Pengalaman itu turut membuka peluang kepada beliau untuk meneroka unsur kebudayaan tempatan yang boleh diterapkan dalam penghasilan karya pada masa hadapan.

Sementara itu, Guo Pei yang merupakan pereka Asia pertama diundang ke Fédération de la Haute Couture et de la Mode (FHCM) turut
berhasrat berkongsi pengalamannya dalam industri adibusana dengan generasi muda.

“Saya berharap dapat berkongsi pengalaman dalam industri ini dengan generasi muda supaya mereka terus berusaha, berpegang teguh pada matlamat dan meneruskan kerjaya dalam bidang ini,” katanya.

Guo Pei meneliti seni baju kuas oleh Julia James dan keluarga.

Untuk rekod, Guo Pei merupakan perintis adibusana dan antara penggiat seni adibusana paling terkenal di China dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri.

Selepas menamatkan pengajian sebagai pelajar terbaik di sebuah sekolah fesyen terawal di China, beliau menghabiskan sedekad sebagai pereka sebuah jenama pakaian siap pakai terkemuka di Beijing.

Guo Pei merakam gambar kenangan bersama-sama Julia James dan keluarganya.

Beliau kemudiannya menubuhkan atelier adibusana Rose Studio pada 1997 sebelum memperkenalkan label GUO PEI yang menggabungkan seni China, pengaruh budaya antarabangsa, teknik pertukangan halus dan inovasi artistik.

Karya Guo Pei pernah dipamerkan di lebih 25 negara, sekali gus menjadikannya antara penggiat seni dari China yang paling kerap diundang di pentas antarabangsa.

Beliau juga merupakan pereka adibusana China pertama dan satu-satunya yang diundang oleh FHCM serta disenaraikan dalam kalendar rasmi Minggu Haute Couture Paris selama lima tahun.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU