ARTIKEL

Guru dari Long Bemang dinobat Ratu Regata Baram 2023

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MARUDI: Menjadi detik terindah bagi gadis berbangsa Kayan dari Long Bemang, Stacy Malang, 26 apabila dinobatkan sebagai Ratu Regata Baram 2023 sekali gus menewaskan 11 finalis yang lain di sini semalam.

Stacy, seorang guru di Long Bedian itu dimahkotakan tiara oleh Ratu Regata Baram 2017 Juliana Sambai Sibat, serta membawa pulang wang tunai RM5,000, sebuah trofi, selempang dan jambangan bunga.

Selain itu, finalis itu turut berjaya meraih anugerah ‘Best Dress’ pada malam tersebut serta membawa pulang wang tunai RM300 berserta selempang.

“Sejujurnya, saya tidak pernah menyangka dinobatkan sebagai Ratu Regata Baram ini kerana ini adalah pengalaman pertama saya menyertai pertandingan sedemikian dan dari segi persiapan pun saya katakan ala kadar sahaja.

“Saya berterima kasih kepada semua penyokong saya terutamanya ahli keluarga saya yang sudi datang dari Long Bemang semata-mata untuk menyaksikan saya di sini. Dengan kemenangan ini, saya akan membantu mengangkat keunikan etnik di Sarawak khususnya kaum saya sendiri iaitu Kayan.

“Ia adalah bertujuan bagi memperlihatkan kepada dunia bahawa Sarawak mempunyai banyak keunikan dari segi kepelbagaian budaya dan tradisi yang harus dipelihara, di samping menyerlahkan bakat-bakat anak muda seperti kami miliki,” katanya ketika ditemubual Suara Sarawak, semalam.

Tempat kedua dimenangi oleh Viviana Uring Joseph yang menerima wang tunai RM4,000, sebuah trofi, selempang beserta jambangan bunga, dan turut memenangi anugerah ‘Best Catwalk’ yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM300 berserta selempang.

Manakala, tempat ketiga dimenangi oleh Diana Dayang William yang memabawa pulang wang tunai berjumlah Rm3,000 beserta trofi, selempang dan jambangan bunga.

Bagaimanapun, sembilan finalis yang lain tidak pulang dengan tangan kosong setelah kesemua mereka masing-masing dihadiahkan RM1,000 oleh pihak penganjur.

Mereka terdiri daripada Scholastica Ubong Samuel, Frennie Chua Chia Sing, Adeline Teo Sue Ling, Evelyn Lai Yii Qin, Angeline Ruran Ryant, Abigail Avril Maing, Claudia Unyang, Jessica Awing Ureng, dan Debbie Ubong Jok.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh isteri kepada Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datin Monica Ukong, isteri Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datin Esther Balan, dan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Debbie Lirang.

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU