ARTIKEL

| MAGNIFIC.COM

Guru Gen Z

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PEREDARAN zaman memaksa dunia pendidikan untuk turut memanfaatkan kemudahan digital.

Hadirnya golongan pengajar atau guru generasi Z dalam sektor pendidikan negara menuntut mereka untuk menjadikan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) lebih interaktif dengan kemudahan digital selari Dasar Pendidikan Digital (DPD).

Golongan ini merujuk kepada individu yang lahir sekitar 1997 hingga 2009.

Golongan yang membesar dengan teknologi.

Guru dalam golongan ini memikul amanah untuk mendidik generasi alfa – individu yang lahir pada 2010 hingga 2024.

Generasi alfa pula lahir pada era digital, terdedah dengan teknologi maklumat sejak kecil.

Jika sebelum ini sekolah sebagai tempat untuk belajar membaca, menulis dan mengira (3M), namun rata-rata generasi ini menguasai kemahiran tersebut sebelum memasuki fasa persekolahan.

Malah ada yang lebih menguasai bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

Justeru, cabaran guru generasi Z kini harus menguasai digital, ubah cara penyampaian agar berbeza berbanding guru mereka sebelum ini.

Kapur dan papan hitam sudah memadai.

Proses PdP kini memerlukan interaksi yang menarik minat dan fokus generasi alfa. Jadikan isi pembelajaran kepada bahan visual, video, animasi, simulasi dan aplikasi digital.

Kalau diingat ketika sekolah menengah sekitar 2014, nota pembelajaran dijadikan lebih menarik dengan mengubah ia menjadi peta minda.

Guru juga memperkenalkan kaedah akronim untuk kami mudah hafal sesuatu perkara.

Contohnya, akronim Micheal Jackson Kill His Brother In University adalah untuk menghafal susunan warna pelangi – merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu.

Namun, generasi alfa lebih tertarik dengan kaedah yang lebih moden.

Penggunaan teknologi, media sosial serta pelbagai aplikasi interaktif kini menjadi sebahagian daripada kaedah belajar.

Penggunaan video pendek, kuiz digital, permainan pendidikan serta platform seperti Google Classroom dan Kahoot menjadikan sesi pembelajaran lebih menarik kepada murid.

Kaedah tersebut secara tidak langsung membantu meningkatkan minat pelajar.

Guru generasi Z seharusnya lebih mudah mendekati pelajar generasi alfa dari segi komunikasi dan emosi.

Jurang usia yang tidak terlalu besar menyebabkan mereka lebih memahami trend, bahasa dan gaya hidup generasi muda masa kini.

Pendekatan itu menjadikan hubungan antara guru dengan pelajar lebih mesra, sekali gus membantu membentuk suasana pembelajaran yang lebih positif dan terbuka.

Cabaran Golongan guru generasi Z juga tidak terlepas daripada pelbagai cabaran. Guru paling tua untuk generasi Z hanya berusia 29 tahun pada tahun ini.

Tekanan kerja dan hidup generasi Z yang juga tergolong dalam ‘generasi sandwic’.

Generasi ini terhimpit antara tanggungjawab, terkesan dengan bebanan tugasan harian dan dalam masa yang sama perlu mengimbangi kerjaya, penjagaan keluarga, serta keperluan diri sendiri.

Diharapkan guru senior memberi bimbingan untuk guruguru baharu menyesuaikan diri, membantu dalam tugasan dan sebagainya.

Guru generasi Z mungkin berdepan cabaran menyesuaikan diri dengan budaya kerja sekolah yang melibatkan perbezaan generasi antara guru.

Namun saya percaya guru senior lebih profesional dalam hal kerja untuk membentuk pelapis mereka dalam membimbing anak bangsa.

LATIHAN

Memandangkan guru generasi Z mudah menguasai teknologi, latihan berterusan diperlukan untuk memastikan mereka lebih bersedia.

Kemahiran teknologi, kreativiti dan keberanian mencuba kaedah baharu amat penting dalam penyampaian sukatan pelajaran.

Bagi memastikan potensi tersebut dimanfaatkan sepenuhnya, sokongan daripada pihak sekolah, ibu bapa dan kementerian amat diperlukan.

Latihan profesional berterusan, persekitaran kerja yang sihat serta kemudahan di bilik darjah harus diberi perhatian.

Hakikatnya, guru generasi Z bukan sekadar simbol perubahan generasi dalam dunia pendidikan, tetapi juga pencetus kepada pendekatan pembelajaran masa depan yang lebih inovatif dan menarik.

Dengan bimbingan dan pengalaman guru senior dan idea segar guru muda, sistem pendidikan negara berpotensi melahirkan generasi pelajar yang lebih kreatif, celik teknologi dan bersedia menghadapi cabaran dunia moden.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU