KOTA BHARU: Seorang guru wanita berusia 56 tahun berjaya diselamatkan pasukan bomba selepas terjatuh ke dalam perigi sedalam 5.48 meter di Kampung Bata Chicha Tinggi, Pasir Mas, pagi ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan I Asraf Mat Naizi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.50 pagi sebelum tiba di lokasi enam minit kemudian bersama enam anggota.
Menurut beliau, mangsa ditemukan terjatuh ke dalam perigi yang terletak di bahagian dapur rumahnya. Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat khas iaitu tali.
Mangsa yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Pasir Mas mengalami kecederaan ringan sebelum diserahkan kepada petugas kesihatan untuk rawatan lanjut. Beliau difahamkan tinggal bersama seorang anak saudaranya dan menggunakan air daripada perigi berkenaan untuk kegunaan harian.
Kejadian disedari adik mangsa yang tinggal bersebelahan selepas terdengar jeritan meminta pertolongan sebelum menghubungi pihak bomba seperti menurut Bernama.



