BAU: Polis mengklasifikasikan kes seorang guru wanita yang ditemui meninggal dunia di tandas guru sebuah sekolah menengah di sini pagi tadi sebagai laporan mati mengejut (LMM).
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, mangsa wanita berusia 55 tahun yang berkhidmat lebih 25 tahun di sekolah berkenaan, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Bau pada kira-kira 9.08 pagi.
“Kami menerima maklumat berhubung kejadian itu selepas Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau menerima panggilan daripada Pusat Perubatan Kecemasan (MECC) menerusi talian MERS 999 pada 8.53 pagi.
“Sepasukan pegawai dan anggota polis bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) bergegas ke lokasi sebelum menemui mangsa dalam keadaan terlentang serta tidak sedarkan diri di lantai tandas guru wanita” katanya dalam kenyataan.
Mohd Haide menambah, hasil siasatan awal mendapati mangsa kali terakhir dilihat berada di bilik guru kira-kira 8.15 pagi sebelum memaklumkan kepada rakan setugas bahawa beliau ingin ke tandas.
Bagaimanapun katanya, apabila mangsa tidak hadir ke kelas mengikut jadual, rakan setugas mula mencarinya sebelum menemui beliau dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam tandas guru wanita.
“Rakan setugas kemudian segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan perubatan, namun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya lagi.
Menurut beliau, pemeriksaan awal ke atas mayat yang dijalankan oleh BSJD tidak menemukan sebarang kecederaan atau unsur jenayah yang mencurigakan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bau untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan rakaman percakapan saksi-saksi akan diambil bagi melengkapkan siasatan.


