ARTIKEL

Hadiah ulang tahun Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Sarawak akan mempunyai pemahaman lebih baik mengenai sumbangan cukainya dan bahagian sumber perkongsiannya dengan Kerajaan Persekutuan susulan negeri ini kini mempunyai perwakilan dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang Ming Tee berkata, pelantikan wakil Sarawak di LHDN tepat pada masanya ketika negeri ini meraikan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka.

“Bukan sahaja kita menyambut ulang tahun ke-60 Sarawak dalam Malaysia, kabinet Persekutuan telah meluluskan pelantikan wakil dari Sarawak sebagai ahli lembaga pengarah LHDN.

“Pelantikan ini bukan sahaja selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) tetapi lebih penting Sarawak (akhirnya) mempunyai wakil pengarah di LHDN,” katanya dalam teks ucapan dibacakan oleh wakilnya, Kapitan Ling Hua Wei pada perasmian Ceramah Kesedaran Cukai di sini, semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Januari lalu mengumumkan Setiausaha Kewangan Sarawak Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar dilantik sebagai wakil Sarawak sebagai ahli lembaga pengarah di LHDN.

Anwar berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pelaksanaan tindakan MA63 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Petra Jaya, Kuching.

Secara berasingan, Tiang mengingatkan rakyat tentang tanggungjawab mereka untuk mengemukakan penyata cukai mereka kepada LHDN seperti yang dikehendaki oleh undangundang cukai berkaitan.

“Percukaian adalah pendapatan penting negara kita kerana ia bergantung kepadanya untuk pembangunan dan kemajuan.

Jadi sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sama ada anda bekerja untuk seseorang atau anda seorang usahawan, kita harus memfailkan penyata cukai dengan jujur,” nasihat ADUN Pelawan itu.

Beliau berkata, mengikut Bajet 2023, LHDN merancang untuk mengutip cukai bersih daripada RM164 bilion kepada RM176 bilion.

Ceramah itu dianjurkan oleh Methodist Pilley Institute (MPI) yang dikendalikan oleh penceramahnya Dr Dominic Hu Khie Yeen, iaitu pemegang Ijazah Kedoktoran Falsafah dalam Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana dalam Perakaunan Profesional.

Sebagai Akauntan Bertauliah dan rakan ahli ACCA, Dr. Hu mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam pelbagai organisasi, daripada PKS kepada syarikat tersenarai di negara ini serta syarikat asing berbilang negara.

Beliau juga merupakan jurulatih bertauliah HRD Corp. Sementara itu itu, Pengetua merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MPI Hii King Tai berkata, ceramah itu dihadiri 197 pelajar tingkatan lima dan enam serta guru dari lapan sekolah. 

BERITA LAIN

BERITA TERBARU