KUCHING: Aspirasi pembangunan Sarawak, peranan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) serta hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti terus dihormati dan diperkasakan, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin.
Beliau berkata perkara itu penting susulan keputusan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) mendapatkan penjelasan daripada Mahkamah Persekutuan berhubung kerangka kawal selia yang terpakai bagi operasi petroleum di negeri ini.
“Sebagai ADUN Sarawak, saya berpegang teguh kepada hak dan kepentingan rakyat negeri ini sebagaimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan MA63,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, pertindihan undang-undang dan pengaturan sejarah telah mewujudkan ketidakpastian undang-undang dalam sektor petroleum, sekali gus menuntut kejelasan yang lebih menyeluruh.
“Aspirasi pembangunan Sarawak, peranan PETROS serta hak-hak negeri di bawah MA63 mesti terus dihormati dan diperkasakan kerana kejelasan undang-undang akan mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam rundingan serta perkongsian pada masa hadapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Wilfred menyeru semua pihak agar menghormati proses kehakiman dan membenarkan Mahkamah Persekutuan memberikan panduan perlembagaan yang berautoriti.
Beliau turut menggesa agar semua pihak mengelakkan pempolitikan atau konfrontasi awam yang tidak perlu yang boleh menimbulkan kegusaran rakyat, sebaliknya meneruskan libat urus secara konstruktif demi memastikan kemakmuran Sarawak serta kestabilan ekonomi Malaysia.
“Rakyat Sarawak berhak mendapat kepastian, keadilan dan maruah dalam cara sumber kita ditadbir. Rangka kerja undang-undang yang jelas, berteraskan Perlembagaan dan semangat MA63, akhirnya akan memberi manfaat kepada Sarawak dan Persekutuan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Sementara itu, PETRONAS dalam satu kenyataan bertarikh 12 Januari semalam memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya bagi mendapatkan penjelasan berhubung kerangka kawal selia yang terpakai kepada operasi petroleum di Sarawak, dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dinamakan sebagai responden.
Permohonan itu difailkan bagi memastikan PETRONAS terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik dan bukan bertujuan mencabar aspirasi pembangunan Sarawak mahupun menghalang peranan PETROS dalam sektor tenaga negeri.
Keputusan memfailkan usul tersebut dibuat susulan perbincangan serta rundingan yang berlangsung sejak 2024 bersama PETROS serta Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Walaupun terdapat kemajuan dalam rundingan komersial dan perkongsian termasuk pemeteraian Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) pada 2020, masih wujud perbezaan pendapat berhubung kerangka kawal selia yang terpakai kepada PETRONAS.


