KOTA SAMARAHAN: Tiada perancangan untuk membina litar sukan permotoran (motorcross) di Halaman Samarahan kerana kawasan itu akan diutamakan sebagai ruang serba guna bagi aktiviti kemasyarakatan dan penganjuran acara.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, meskipun kemudahan motorcross tersedia di kawasan lain, keutamaan kini adalah melengkapkan infrastruktur asas bagi menyokong pelbagai program dan aktiviti rekreasi.
“Kemudahan motocross sudah tersedia di kawasan lain dan sekiranya terdapat cadangan untuk menaik taraf litar motocross sedia ada pada masa hadapan, kita boleh mempertimbangkannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyerahan siap Projek Naik Taraf Halaman Samarahan kepada Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), hari ini.
Menurut Rubiah, kawasan itu turut dirancang sebagai ruang yang mencerminkan identiti dan sejarah Samarahan, termasuk warisan pertaniannya selain menyediakan kemudahan yang mampu menarik minat generasi muda.
Pameran automotif dan acara seumpamanya boleh dianjurkan di tapak tersebut, namun pertandingan sukan permotoran lasak memerlukan kemudahan tambahan sebelum dapat dilaksanakan dengan selamat.
Mengulas sama ada fasa pembangunan seterusnya melibatkan kerja meratakan kawasan motocross sedia ada, Rubiah berkata, tapak itu telah diasingkan daripada projek Halaman Samarahan kerana MPKS mempunyai perancangan tersendiri bagi kawasan tersebut.
“Buat masa ini, kita memberikan tumpuan untuk melengkapkan kawasan hadapan berikutan banyak permintaan daripada golongan belia yang memerlukan ruang terbuka bagi menjalankan aktiviti sukan seperti sepak takraw dan kemasyarakatan,” ujarnya.
Penambahbaikan Halaman Samarahan pada masa hadapan akan terus mengutamakan kemudahan yang menggalakkan penyertaan masyarakat, di samping menyokong penganjuran acara awam berskala besar.


