Hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibuka Isnin depan

KUCHING: Hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi pada Isnin depan namun tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bagaimanapun berkata, bukan semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi kerana masih ada beberapa kategori lagi tidak diizinkan untuk berbuat demikian.

“Ia adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan apabila penjarakan sosial sukar dikawal.

“Antaranya ialah panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Buruh di ibu negara hari ini.

Tegas Perdana Menteri, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan juga tidak dibenarkan.

“Ini termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium.

“Aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan,” jelasnya.

Menurutnya, Malaysia bersedia untuk membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati.

“Dengan ini kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Malah, Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi,” ujarnya.