Impian seorang anak Sarawak untuk berkongsi pentas dengan kumpulan legenda Indonesia, Peterpan, akhirnya menjadi kenyataan apabila Amirul Hamzah Sarkawi atau lebih dikenali sebagai Hamzah, dinobatkan sebagai juara pertandingan Vokalis Peterpan ERA.
Hamzah, yang sebelum ini aktif membuat persembahan nyanyian jalanan, berjaya menewaskan empat finalis lain dalam pertandingan yang diadakan sempena promosi Konsert The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita.
Kejayaan itu diraih selepas beliau memukau barisan juri menerusi persembahan lagu ikonik Peterpan, Mungkin Nanti, sekali gus melayakkannya membuat persembahan bersama-sama anggota asal kumpulan tersebut di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Lebih istimewa, ramai menyifatkan wajah serta suaranya mempunyai persamaan dengan bekas vokalis Peterpan, Ariel, sekali gus menjadikan persembahannya lebih dekat di hati peminat.
Mengulas kemenangannya, Hamzah mengakui masih sukar untuk mempercayai perkara yang berlaku kerana peluang tersebut merupakan impian yang dipendam sejak kecil.
“Pertama sekali, alhamdulillah. Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan. Sebenarnya, saya masih tergamam, tetapi amat bersyukur kerana dipilih sebagai vokalis Peterpan.
“Peterpan ialah antara kumpulan yang mendorong saya untuk menceburi bidang muzik. Lagu Mungkin Nanti merupakan lagu pertama yang saya mainkan dengan gitar ketika masih kecil.
“Ini merupakan satu batu loncatan untuk saya melangkah lebih jauh. Saya juga seorang penyanyi dari Sarawak dan tidak akan mensia-siakan peluang ini untuk terus maju serta menghiburkan semua yang sentiasa menyokong saya,” katanya.
Sebelum konsert berlangsung, Hamzah turut mengakui berasa gementar kerana bakal berdiri di pentas dengan kumpulan yang menjadi inspirasinya sejak kecil.
Namun, selepas selesai membuat persembahan bersama Peterpan, penyanyi berusia 35 tahun itu meluahkan rasa syukur kerana segala-galanya berjalan lancar.
“Saya sangat gembira dan tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Ketika berada di atas pentas, saya tertanya-tanya sama ada saya benar-benar sedang menyanyi atau sekadar bermimpi. Namun, alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya berharap semua yang hadir terhibur,” katanya.
Pertandingan itu diadili oleh Pengurus Jenama ERA dan THR Gegar, Azah Sahrin; Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Seri Rosmariza; serta anggota Peterpan, Loekman Hakim.
Turut mara ke peringkat akhir pertandingan Vokalis Peterpan ERA ialah Faritzth, Hafiq, Azirul dan Putera.
Konsert The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita yang berlangsung di Idea Live Arena turut menampilkan anggota asal Peterpan, iaitu Reza, Loekman, Andika dan Indra.
Malam tersebut turut dimeriahkan dengan penampilan artis Indonesia seperti Marcello Tahitoe, Tantri Syalindri, Rony Parulian, Arda Hatna dan Charly Van Houten, selain penyanyi popular Malaysia, Hael Husaini.






