KUCHING: Trend jual beli emas di Chegu Aiman Gold menunjukkan nisbah satu pembeli kepada tiga penjual susulan kenaikan harga emas 916 yang kini mencecah hampir RM600 segaram.
Pengarah syarikat itu, Aiman Abdul Hamid, menjelaskan lebih ramai orang menjual emas berbanding membeli buat masa ini kerana ia dilihat lebih menguntungkan.

Foto: MOHD ALIF NONI
Menurutnya, ini adalah masa paling sesuai untuk menukar emas kepada wang tunai berikutan peningkatan transaksi jualan emas hampir 30 peratus.
“Orang ramai menjual sehingga 1.5 kilogram emas kepada kami, berbanding jualan kedai yang hanya mencecah sekitar 500 gram dalam tempoh sehari.
“Pelanggan yang mempunyai emas tidak kira dalam bentuk jam atau barang kemas sememangnya memilih untuk menjual kerana mereka tahu boleh mendapat harga lebih tinggi,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, hari ini.
Sehubungan itu, Aiman menegaskan syarikatnya mengambil prosedur operasi standard yang lebih ketat bagi menghadapi cabaran termasuk kes kecurian dan emas palsu.
“Kami sedang meningkatkan keselamatan kedai dengan memasang pintu besi kebal bagi mengelakkan insiden tidak diingini.
“Bagi mengelak kes terbeli emas palsu pula, kami menggabungkan beberapa kaedah pengujian mutu emas. Sekiranya keputusannya konsisten, barulah kami menerima emas tersebut.
“Satu gelang emas palsu sahaja boleh menyebabkan kerugian berbelas ribu ringgit kepada sesebuah kedai. Inilah antara cabaran yang cuba dielakkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan corak pelanggan yang membeli emas kini lebih kepada meninjau barang perhiasan sebelum harganya naik.
“Namun, apabila harga semakin melonjak, pelanggan berpusu-pusu membuat pembelian secara panik kerana bimbang nilai emas terus meningkat dan tidak akan turun semula,” jelasnya.
Aiman turut menasihati pelanggan supaya berbelanja dengan bijak dengan menitikberatkan faktor seperti upah pembuatan dan harga yang berpatutan.
Sementara itu, harga emas global mencecah lebih AS$4,500 seauns menyebabkan harga emas tempatan melonjak sehingga RM600 segaram.
“Jangkaan kami, harga emas akan terus meningkat dan mungkin mencecah RM700 pada tahun hadapan. Justeru, ini merupakan tempoh yang berbaloi untuk penyimpan emas mendapat pulangan,” ringkasnya.



