HARI pertama persekolahan sentiasa menjadi detik yang penuh makna dan emosi kepada anak-anak serta ibu bapa. Seawal pagi, suasana di hadapan sekolah dipenuhi kenderaan serta wajah ceria anak-anak dan ibu bapa yang mengiringi anak masing-masing.
Ada yang tersenyum penuh keterujaan, tidak kurang juga yang menyembunyikan rasa gementar, terutamanya mereka yang pertama kali melangkah ke alam persekolahan.
Bagi anak-anak, hari pertama ke sekolah merupakan pengalaman baharu yang mencabar kerana persekitaran masih asing, manakala guru dan rakan belum dikenali.
Walaupun ada yang kelihatan yakin dan teruja, sebahagian murid masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, terutama murid tahun satu kerana mereka pertama kali berpisah lebih lama daripada ibu bapa.
Namun, di sebalik rasa takut dan kekok, hari pertama persekolahan turut memberi pendedahan awal tentang berdikari.

Anak-anak mula belajar mengurus diri, mematuhi arahan guru serta berinteraksi dengan rakan sebaya.
Pengalaman sebegini tentunya menjadi asas penting dalam pembentukan keyakinan diri dan kemahiran sosial mereka.
Dari segi ibu bapa pula, hari pertama persekolahan sarat dengan perasaan bercampur-baur, terutamanya bagi mereka yang menghantar anak ke tahun satu atau tingkatan satu.
Jauh di sudut hati, ibu bapa berasa bangga melihat anak membesar dan memulakan perjalanan menuntut ilmu, di samping rasa bimbang akan keselamatan dan kesejahteraan mereka di sekolah.
Menurut Nur Alieya Safiya Gudit, 32, persediaan rapi sebelum anak melangkah ke alam persekolahan amat penting bagi memastikan mereka bersedia untuk menuntut ilmu.
“Walaupun ini bukan kali pertama saya menghantar anak-anak ke sekolah, setiap kali menghantar mereka tetap ada perasaan risau.
“Walaupun banyak perkara perlu diuruskan ketika menghantar anak ke sekolah, namun setakat ini semuanya dalam keadaan baik,” katanya kepada Suara Sarawak.

Berkongsi tentang persiapan anak ke sekolah, Alieya memberitahu, perkara itu agak mencabar kerana dia bimbang kelengkapan persekolahan anakanak tidak lengkap.
Bagaimanapun, dia akan memastikan semuanya lengkap sebelum anak-anaknya memulakan persekolahan.
Sehubungan itu, katanya, anak-anak kelihatan teruja dan seronok apabila melihat kelengkapan persekolahan disediakan, sekali gus menandakan mereka akan kembali ke sekolah dan berjumpa rakan-rakan.
“Jika sebelum ini anak saya agak takut ke sekolah kerana diganggu rakan lain, namun sebagai ibu saya perlu memujuknya supaya dia sentiasa bersemangat ke sekolah dan menyesuaikan diri.
“Alhamdulillah, lama kelamaan mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan baharu dan kami perlu memberi sokongan serta dorongan bagi memastikan mereka bersemangat untuk ke sekolah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Alieya turut menasihati ibu bapa agar terus tabah memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Dia turut berharap anakanaknya dapat menumpukan sepenuhnya perhatian terhadap pelajaran, sekali gus membanggakan keluarga.
Sementara itu, Nurhafizah Ibrahim, 28, memberitahu, perasaannya bercampurbaur kerana anaknya sudah memulakan fasa baharu dalam hidupnya, di samping rasa risau akan keadaannya.
“Ini kali pertama saya menghantarnya ke sekolah, jadi saya agak berdebar.
“Sebagai ibu bapa, kami menyediakan kelengkapan sekolah lebih awal seperti baju, beg, kasut dan sebagainya.
“Namun, saya tetap risau dia menangis, sukar ditinggalkan di sekolah atau tidak selesa dengan persekitaran baharu,” katanya.
Di samping itu, Nurhafizah berkata, cabaran utama pada hari persekolahan pertama ialah membangunkan anaknya dan memastikan suasana hati berada dalam keadaan baik.
“Saya memujuknya, memberi semangat dan berjanji akan mengambilnya selepas sekolah.
Saya juga memberitahunya sekolah itu menyeronokkan,” ujarnya.
Pada masa sama, dia menasihati ibu bapa agar tidak terlalu memaksa anak, sebaliknya memberi masa untuk menyesuaikan diri serta sentiasa memberi sokongan kepada mereka.
“Saya berharap anak gembira, berani berkawan dan dapat mempelajari perkara baharu dengan baik,” tambahnya.
Bagi Saptuyah Kiprawi, 50, dia teruja kerana ini kali pertama anaknya melangkah ke sekolah menengah.
Menurutnya, persiapan dibuat lebih awal supaya tidak kelamkabut, termasuk kelengkapan persekolahan.
“Perkara paling merisaukan ialah bagaimana dia menyesuaikan diri dengan suasana awal dalam bilik darjah, mendapatkan kawan baharu dan sebagainya.
“Namun, dia tetap teruja apabila mengetahui akan melangkah masuk ke sekolah menengah, cuma masih perlu bangun awal kerana suasana persekolahan tidak lagi sama seperti di sekolah rendah,” ujarnya.
Justeru, Saptuyah berharap agar anaknya dapat belajar dalam keadaan selesa, menjaga adab dan saling menghormati antara satu sama lain.



