KUCHING: Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, tetapi menjadi simbol kekuatan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama untuk hidup bersatu padu, tegas Senator Datuk Ahmad Ibrahim.
Ahli Dewan Negara itu berkata, penting untuk rakyat mempertahan nilai muhibah yang telah lama menjadi kekuatan Sarawak berbanding suasana politik perkauman dan keagamaan yang semakin membimbangkan di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Burung Lilin, di sini, malam tadi.

Tambahnya, peningkatan politik sempit yang memecahbelahkan rakyat di Semenanjung Malaysia memang sangat membimbangkan.
Beliau menyifatkannya sikap sedemikian sebagai pengkhianatan semangat perpaduan yang dibawa oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Dalam pada itu, beliau yakin bahawa Sarawak akan terus kekal sebagai contoh terbaik kepada negara.
“Inilah wajah sebenar Malaysia — damai, bersatu dan penuh harapan. Marilah kita pertahankan nikmat perpaduan ini demi masa depan anak cucu kita,” tegasnya.


