KUCHING: Sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 (HW26) akan berlangsung pada 2 Ogos ini di Hotel Pullman Kuching dengan penyertaan kira-kira 800 jemputan yang dijangka hadir secara fizikal.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata sambutan bertemakan Wanita Sarawak dalam Ekonomi Digital (Sarawak Women in Digital Economy) itu turut disertai peserta dari 45 daerah di seluruh Sarawak secara dalam talian.
Katanya, sambutan HW26 turut akan disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook dan YouTube Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bagi membolehkan lebih ramai rakyat mengikuti acara berkenaan.
“HW26 bakal menyaksikan seramai 800 jemputan menghadiri majlis secara fizikal, manakala 45 daerah di seluruh Sarawak akan mengikuti sambutan secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Wanita Sarawak 2026: Sarawak Women in Digital Economy di Galeri Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau memaklumkan majlis berkenaan akan disempurnakan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan turut dihadiri anakandanya, Dayang Norjihan.
Menurut Fatimah, pelbagai aktiviti disusun sempena sambutan HW26, termasuk pameran yang disertai kementeriannya, agensi di bawah kementerian, rakan strategik serta usahawan wanita.
Selain itu, menurutnya, forum bertajuk Sarawak Women in Digital Economy yang menampilkan panel pakar dalam bidang digital dan ekonomi akan diadakan pada sebelah pagi sebelum majlis rasmi bermula.
“Majlis HW26 ini turut menyaksikan penyampaian Anugerah Tokoh Wanita Sarawak bagi tujuh kategori merangkumi Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib, Anugerah Premier Sarawak Kepimpinan Wanita, Anugerah Premier Sarawak Usahawan Wanita dan Anugerah Premier Sarawak Penggiat Sosial Wanita.
“Ia termasuk Anugerah Premier Sarawak Badan Bukan Kerajaan (NGO) Cemerlang, Anugerah Premier Sarawak Pemimpin Muda Wanita serta Anugerah Khas Premier Sarawak – Sarawak Women in Digital Economy,” ujarnya.



