Hati-hati dengan upah lumayan

DAHULU, gelaran keldai dadah menjadi topik bualan dalam masyarakat tetapi kini timbul pula istilah terbaharu iaitu keldai akaun. Jika keldai dadah tugasnya ialah membawa keluar atau membawa masuk dadah, keldai akaun pula tugasnya lebih mudah kerana pemilik akaun hanya duduk goyang kaki.

Tugasnya hanya meminjamkan nombor akaun atau kad ATM atau menumpangkan akaun mereka untuk transaksi kewangan tertentu. Memang nampak mudah dan dikatakan boleh buat duit atas angin tetapi ingat, perbuatan ini adalah satu perbuatan jenayah.

Waspada, perbuatan jenayah ini boleh dikesan oleh pihak institusi kewangan.  Masyarakat hendaklah lebih berhati-hati supaya tidak terperangkap dalam sindiket keldai akaun yang semakin membimbangkan.

Untuk pengetahuan, keldai akaun adalah akaun bank seseorang yang digunakan oleh orang lain tanpa disedari ataupun secara sukarela bagi mendapatkan habuan. Biasanya transaksi yang dibuat merupakan transaksi penipuan kewangan yang tidak sah atau menyalahi undang-undang.

Seperti menurut Ketua Pejabat Bank Negara Malaysia (BNM) Kuching Mohd Irman Mohd Din, sindiket biasanya mendapatkan keldai akaun (juga dikenali sebagai akaun tumpang) ini dengan memperdaya golongan yang memerlukan pendapatan lebihan serta mempunyai tahap celik kewangan yang rendah.

Antara golongan yang sering menjadi mangsa ialah suri rumah, penganggur, pelajar dan warga emas. Katanya mangsa mudah terpedaya dengan tawaran upah lumayan untuk membuka atau menyerahkan akaun bank bagi kegunaan pihak ketiga, dengan kebanyakannya ditawarkan upah oleh pihak sindiket sehingga melebihi RM1,000 sebulan untuk menggunakan akaun bank mereka.

Terdapat juga modus operandi yang menggunakan tawaran peluang pekerjaan sebagai cara bagi mendapatkan akses kepada akaun bank mangsa. Mangsa dikehendaki menyerahkan butiran akaun bank termasuklah nombor PIN kad ATM sebagai syarat diterima bekerja dengan pihak sindiket akaun keldai.

Terdapat juga syarikat peminjam wang tidak berlesen yang memperdaya peminjam untuk menyerahkan akaun bank mereka sebagai cagaran pinjaman tersebut.  Namun pada hakikatnya, pihak sindiket menggunakan akaun bank mereka sebagai akaun keldai.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab setiap pemegang akaun bank untuk menjaga sepenuhnya apa jua transaksi dan maklumat perbankan peribadi mereka.  Pemegang akaun tidak sepatutnya mendedahkan atau berkongsi apa jua maklumat perbankan peribadi dengan orang lain.

Juga, pemegang akaun tidak seharusnya memberi maklumat perbankan peribadi mereka sewenang-wenangnya untuk apa-apa tujuan sekalipun, walaupun untuk tujuan permohonan pekerjaan mahupun pinjaman dengan mana-mana pihak.  Selidik terlebih dahulu latar belakang dengan siapa kita berinteraksi.

3L (Lindung, Lapor dan Lepas) adalah tips praktikal untuk mengelak diri daripada menjadi mangsa akaun keldai.

Lindung: Lindungi kad ATM dan maklumat perbankan peribadi anda dengan tidak berkongsi maklumat tersebut dengan manamana pihak.

Lapor: Laporkan kepada pihak bank atau polis sekiranya mendapati kehilangan kad ATM atau penyalahgunaan akaun bank anda.

Lepas: Lepaskan diri anda dari bersekongkol dengan pihak yang mengkehendaki anda melakukan aktiviti yang mencurigakan seperti membuat pindahan wang kepada orang yang tidak dikenali.

Implikasi terhadap pemegang akaun keldai ialah sekiranya seseorang terjebak, individu tersebut boleh disekat daripada menggunakan akaun bank tersebut dan akaun berkenaan boleh ditutup oleh pihak bank.

Individu tersebut akan mengalamai kesukaran berurusan dengan bank pada masa hadapan.  Malah, pemegang akaun boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah sekira terbukti dengan sengaja menjadikan diri alat untuk melakukan transaksi menyokong aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Antara implikasi lain termasuklah kesukaran untuk menerima pendapatan seperti gaji bulanan melalui akaun bank. Selain itu ialah kemungkinan kehilangan perkerjaan yang sedia ada atau sukar mendapat peluang pekerjaan lain dan kesukaran untuk menjalankan perniagaan memandangkan reputasi telah tercemar.

Justeru, amatlah penting untuk orang ramai mengelakkan diri daripada membiarkan pihak sindiket menggunakan akaun bank mereka sebagai akaun keldai. Pesanlah kepada rakan dan sanak saudara supaya kita tidak terjebak dengan akaun keldai ini.

Suara Sarawak