KUCHING: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) akan terus komited untuk memastikan lebih ramai rakyat Sarawak berpeluang memiliki kediaman yang selesa, selamat dan berkualiti.
Pengerusi HDC, Abdul Yakub Arbi, berkata rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi asas kepada kesejahteraan dan kestabilan sesebuah keluarga.
“Selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak, HDC akan terus menyediakan perumahan yang berkualiti, mampu milik dan mampan demi memenuhi keperluan rakyat di seluruh pelosok negeri,” katanya pada Majlis Ngiling Bidai HDC 2026 di Dewan Rafflesia, Wisma Sultan Tengah, hari ini.
Tambah beliau, anak syarikat HDC, iaitu Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd., akan terus memainkan peranan penting dalam menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan yang lebih mudah diakses bagi membantu rakyat merealisasikan impian memiliki rumah sendiri.
Menurutnya, kerjasama erat antara HDC, Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd., Kerajaan Sarawak serta semua pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan agenda pembangunan perumahan negeri dapat dilaksanakan secara berkesan dan inklusif.
Sementara itu, beliau berkata semangat Segulai Sejalai perlu terus dipupuk dalam kalangan rakyat Sarawak sebagai asas kepada perpaduan, keharmonian dan kemajuan negeri yang berterusan.
Katanya, kepelbagaian budaya yang dimiliki rakyat Sarawak bukanlah suatu perbezaan yang memisahkan, sebaliknya merupakan kekuatan yang menyatukan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Menurut beliau, Sarawak telah membuktikan bahawa perpaduan dalam kepelbagaian mampu menjadi asas kepada kestabilan sosial dan pembangunan negeri.
“Dalam semangat tersebut, nilai Segulai Sejalai, iaitu bergerak seiring dan saling melengkapi, wajar terus dipupuk dalam kehidupan seharian serta dalam persekitaran kerja.
“Nilai ini menjadi pemangkin kepada kejayaan organisasi serta pembangunan negeri secara keseluruhan,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Yakub berkata sambutan Ngiling Bidai merupakan simbol kesyukuran dan penutup kepada perayaan Hari Gawai Dayak yang mencerminkan kekayaan warisan budaya masyarakat Dayak sebagai sebahagian daripada identiti unik Sarawak.
Justeru, beliau berkata sambutan itu juga mengingatkan masyarakat tentang nilai murni seperti kesyukuran, semangat kekeluargaan, kebersamaan dan saling menghormati yang sekian lama menjadi asas keharmonian rakyat di negeri ini.

