Hebatnya jamu Dayang Mutiara

TANJUNG MANIS: Walaupun sudah lanjut usia namun kudrat Dayang Mutiara Pengiran Hashim pembuat jamu warga emas di Kampung Rajang ini masih kuat dan bertenaga.

Lebih menakjubkan, nenek yang berusia 86 tahun masih berupaya menghasilkan produk herba tradisional bagi menampung permintaan penduduk kampung terutama bagi mereka yang mementingkan kesihatan tubuh badan.

Meskipun berhadapan dengan persaingan daripada beraneka produk herba moden namun setiap jamu yang dihasilkan Dayang Mutiara tetap memiliki kelebihan tersendiri.

Anaknya Awangkok Abdullah Pengiran Taib, 63, berkata, ibunya membuat jamu sejak remaja dan mempelajari resipi pembuatan herba itu daripada keluarga mereka.

Suatu ketika dahulu katanya, keluarganya pernah menjadikan pembuatan jamu sebagai sumber pendapatan dengan menjual ke beberapa daerah lain termasuk Matu dan Daro.

“Selain jamu, emak juga mahir menghasilkan ragi (sejenis bahan untuk membuat tapai) dan kemahiran itu diwarisinya daripada nenek kami dulu.

“Kedua-dua produk ini dijual di sekitar Kampung Rajang dan Belawai hingga ke Matu,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurut Awangkok Abdullah, ibunya masih menggunakan kaedah tradisional bagi mengekalkan kualiti dan keaslian rasa jamu berkenaan.

Produk herba itu katanya, diambil untuk pelbagai tujuan kesihatan terutama bagi mereka yang mendambakan kecantikan luaran dan dalaman.

“Ibu menggunakan pelbagai rempah terpilih. Bagi menjamin kualitinya, ia perlu dijemur dan dibersihkan terlebih dulu sebelum dimasak dan dicampurkan dengan madu.

“Jika dulu, dia melakukannya setiap hari namun kerana faktor usia, pekerjaan itu kini hanya dilakukan pada waktu lapang sahaja.

“Jamu yang siap diproses kemudiannya dimasukkan ke dalam bungkusan sebelum dijual kepada pelanggan dengan harga RM15 sepeket.

“Walaupun bukan lagi pendapatan utama, ubat tradisional berasaskan herba ini masih ada penggemarnya,” ujarnya.

Awangkok Abdullah berkata, bagi memastikan kepakaran itu dapat diwarisi, ada dalam kalangan adik-beradiknya sudah mengikuti jejak ibu sebagai pembuat jamu.

Dengan cara itu katanya, keluarganya bukan sahaja dapat menghidupkan tradisi berkenaan tetapi juga membantu orang kampung yang memerlukan perubatan herba tersebut.

Terdahulu Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berpeluang meninjau sendiri perusahaan warga emas itu di Kampung Rajang semalam.

Sambil menyuarakan rasa kagum, Len berkata, kegigihan warga emas itu bukan sahaja menjadi alternatif kepada perubatan tetapi juga membantu mempopularkan nama Kampung Rajang kepada masyarakat luar.

Pada masa sama, Len yang juga Adun Kuala Rajang menyumbangkan mesin pengisar herba bagi membantu memudahkan Dayang Mutiara melakukan kerjanya membuat jamu.

Suara Sarawak