MIRI: Kerajaan Sarawak telah mengambil inisiatif untuk menyediakan sebuah pengangkutan udara, iaitu helikopter Hornbill Skyways, khas bagi membawa bapa kepada mendiang Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal dan ahli keluarga lain, dari Ba’Kelalan ke Miri.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, berkata inisiatif itu diambil bagi tujuan memudahkan ahli-ahli keluarga besar mendiang dari kampung untuk menghadiri majlis penghormatan terakhir dan pengebumian mendiang yang akan diadakan di Miri.
Tambahnya lagi, Kerajaan Sarawak bermurah hati menghulurkan bantuan sedemikian selepas mengambil kira beberapa faktor, termasuk keadaan kesihatan bapa mendiang, iaitu Tagal Paran atau lebih mesra dipanggil Pak Tagal, 91, yang agak tidak mengizinkan.
“Saya ditugaskan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menyelaras semua persediaan dan atur cara bagi pengebumian mendiang, termasuk membawa Pak Tagal dan ahli keluarga yang lain menghadiri kesemua upacara berkenaan.
“Dari Ba’Kelalan ke Miri mengambil masa yang agak lama untuk sampai sekiranya menggunakan jalan darat, dan apabila melihat kepada keadaan Pak Tagal sekarang, adalah lebih baik kita sediakan kemudahan untuknya.
“Setelah mengambil kira beberapa faktor, kita telah menyediakan helikopter untuk keluarga mendiang dari kampung, dan ia hanya mengambil masa sekitar sejam sahaja penerbangan untuk sampai ke Miri,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat persediaan penghormatan terakhir mendiang di sini, hari ini.
Sementara itu, katanya, selain pihak Kerajaan Negeri, pihak Persekutuan juga memberi penghormatan terakhir kepada mendiang pada hari ini.
Kata Gerawat, beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak menghadiri upacara penghormatan terakhir mendiang yang diadakan di Nirvana 2 (Nirvana Centre Kuala Lumpur), Jalan Dewan Bahasa, bermula jam 10 pagi hingga 2 petang ini.


