Hilang arah, gagal sekat 4 import punca kalah teruk

KELUARNYA Bobby Gonzales pada babak kedua menjadi titik tolak kekalahan teruk Sarawak, 5-2 di tangan PDRM dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Selayang petang Selasa lalu.

Sarawak bermula dengan langkah kanan, mendahului 2-0 pada 45 minit pertama, namun musnah pada babak kedua apabila ‘lima peluru’ PDRM tepat ke sasaran.

Pemangku jurulatih Sarawak, Mohamad Denny Da’ail membuat kesimpulan kekalahan tersebut berpunca daripada dua faktor.

Pertama, hilang arah, dan kedua, kegagalan pemain Sarawak menyekat empat import PDRM.

“Sebaik Bobby keluar (cedera)… kami tidak ada kemudi menyebabkan pemain muda kita hilang arah.

“Lebih memburukkan keadaan kita tidak mempunyai pemain yang berfizikal tinggi untuk menyaingi empat import PDRM,” kata Denny.

PERLU YAKIN… Barisan muda Sarawak perlu tampil lebih yakin menghadapi pasukan yang lebih berpengalaman. Foto GHAZALI BUJANG

Menurut Denny, ketiadaan Pedro menyebabkan hanya Hartson yang boleh bersaing dengan empat import PDRM.

“Dua jaringan PDRM berpunca daripada sepakan sudut, satu lagi gol daripada hantaran silang dan satu lagi daripada sepakan penalti.

“Pemain kita gagal menyekat “set-piece” PDRM,” ujarnya.

PDRM diterajui import ternama, Patrik Ronaldinho yang menjaringkan hatrik, di samping tiga lagi import handalan.

Menurut Denny, Sarawak bermain hebat pada babak pertama, namun tidak mampu menangani gerak gempur PDRM pada babak kedua.

Kali terakhir Sarawak memberi impak dalam Piala FA ialah pada 2001, tewas 1-0 kepada Selangor dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam. Ketika itu Sarawak dibimbing oleh Jalil Ramli.

Sejak itu, pencapaian Sarawak dalam Piala FA terus merudum hingga sekarang ini.

Berdasarkan rekod, Sarawak pernah menjuarai Piala FA pada 1992 setelah mengatasi Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Negeri. Ketika itu Sarawak dibimbing oleh Alan Vest.

Malah Vest juga pernah mengemudi Sarawak ke final Piala FA 1996, tewas 1-0 kepada Kedah dalam aksi di Stadium Merdeka.

PENCAPAIAN TERBAIK
SARAWAK DALAM PIALA FA
1992: Juara; tewaskan K. Lumpur 2-1 di Stadium Negeri.
1996: Final; kalah kepada Kedah 1-0 di Stadium Merdeka.
2001: Final; kalah kepada Selangor 1-0 di Stadium Shah Alam.

TAHUKAH ANDA!
Alan Vest yang mengemudi Sarawak pada 1991 hingga 1998 menitikberatkan aspek “set-piece” dengan memanfaatkan ketinggian David Evans (6 kaki 6 inci), John Hunter (6 kaki 1 inci) dan lontaran jauh Jalil Ramli. Di bawah kendalian Vest, Sarawak menjuarai Piala FA 1992, Liga Perdana 1997 dan Piala Sumbangsih 1998.